suria

Berita gembira! Sektor pelancongan dibuka semula bermula dengan Langkawi, destinasi lain bakal menyusul

Pulau Langkawi akan dibuka kepada pelancong tempatan mulai 16 September 2021.

BERITA baik buat mereka yang sudah lama menanti saat untuk meluangkan masa bercuti bersama keluarga.

Beberapa destinasi pelancongan akan dibuka di bawah program 'travel bubble' berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, dimulakan dengan Pulau Langkawi.

Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan bahawa pulau itu akan dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini.

"Sukacita dimaklumkan bahawa, mesyuarat bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program 'travel bubble' berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

"Sebagai permulaan, Pulau Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September.

"Destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus," katanya dalam satu kenyataan media Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Khamis.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memaklumkan peralihan fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi dua buah negeri iaitu Melaka yang beralih kepada Fasa 2 dan Negeri Sembilan beralih ke Fasa 3.

Peralihan fasa bagi negeri-negeri di tersebut akan bermula pada 4 September 2021.

Berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80% bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021.

Beliau percaya kadar vaksinasi 100% akan dicapai akhir Oktober 2021, sekali gus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia.

Bagaimanapun, rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia juga perlu bersedia untuk hidup bersama COVID-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya.

Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semata-mata.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain