suria

Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, Undi 18 antara 7 perkara dalam Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hal itu menerusi satu kenyataan pada Jumaat petang.

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tujuh perkara dalam Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan.

Menurut Ismail Sabri, ia merupakan persetujuan bersama Jemaah Menteri dalam mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dan rakan-rakan bertemu perdana menteri, ‘tak datang untuk minta jawatan’

Malah, ia juga selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu tentang kepentingan sebuah pentadbiran yang stabil dan berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

"Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi Covid-19 serta pemulihan ekonomi.

"Tawaran ini juga bertujuan mewujudkan landskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen," ujar Ismail Sabri menerusi kenyataan pada Jumaat petang.

Berikut merupakan tujuh Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan:

1. Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

2. Pelaksanaan Undi-18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.

3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

4. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.

5. Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

6. Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

7. Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain