POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, telah ditahan di Thailand. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Nur Sajat ditahan oleh Imigresen Thailand kerana memiliki pasport yang tidak sah, kira-kira pukul 6 petang 8 September lalu. "Pada 9 September, suspek dihadapkan ke Mahkamah Thailand atas kesalahan imigresen dan dikenakan hukuman denda," katanya dalam satu kenyataan, pada petang Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Polis cari Sajat lagi... kali ini jadi mangsa dan saksi penting kes tipu nama, jantina ARTIKEL BERKAITAN: Tetap kena bayar! Sajat gagal elak langsai ganti rugi RM200,000 Abd Jalil berkata, suspek juga dikehendaki kerana melakukan pelbagai kesalahan di Malaysia, kerana menghalang penjawat awam dan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan. "Usaha untuk membawa pulang suspek sedang giat dilaksanakan," katanya. Harian Metro pada Isnin melaporkan misteri 'kehilangan' Nur Sajat kini terjawab apabila dia ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen. Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Usahawan kosmetik itu bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan. Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI