suria

[VIDEO] Awas! Ah Long makin ganas... 'godam' telefon peminjam, data peribadi umpan diugut

SINDIKET Ah Long kini semakin rakus mengaut keuntungan dengan memeras ugut mangsa menggunakan maklumat yang "dicuri" daripada telefon bimbit peminjam tanpa mereka sedar.

Maklumat termasuk gambar atau video yang disimpan dalam galeri, lokasi dan senarai nombor telefon ini akan "dicuri" sebaik sahaja peminjam memuat turun aplikasi mudah alih Ah Long ke telefon bimbit mereka.

ARTIKEL BERKAITAN : Dibuang keluarga, dimalukan hingga reputasi tercalar... peritnya hidup mangsa aplikasi Ah Long

Semakan wartawan mStar mendapati, kesemua aplikasi mudah alih milik Ah Long ini meletakkan pra-syarat iaitu diberi kebenaran serta akses kepada maklumat dan juga data peribadi individu yang memuat turunnya.

Lebih menakutkan, Ah Long ini juga berupaya mengawal kamera serta mikrofon individu yang memuat turun aplikasi itu.

Kesemua maklumat yang diperolehi ini akan digunakan untuk menggugut peminjam sehingga ada yang mengaku telah membayar 235 kali ganda daripada nilai yang diterima.



Pengguna wajib beri akses kepada pihak ketiga untuk menggunakan aplikasi yang disenaraikan jika mereka ingin muat turun aplikasi Ah Long ini.

Ada puluhan Aplikasi mudah alih milik Ah Long

Wartawan mStar memuat turun beberapa aplikasi mudah alih milik sindiket ini bagi memahami taktik yang digunakan cara Ah Long ini dalam menjerat mangsa.

Bukan hanya maklumat pada handphone, Ah Long ini akan turut mendapat akses akaun lain seperti emel yang didaftarkan pada telefon bimbit yang memuat turun aplikasi mereka.

Menu di aplikasi Ah Long ini juga hampir sama iaitu mereka cuma ada menu - Apply now, Loan type, about us, upcoming, calculator dan contact us.

Setiap aplikasi menarik peminjam menggunakan modal yang sama iaitu - proses aplikasi mudah dengan dokumentasi yang minima, kelulusan pantas kurang dari 24 jam, bayaran segera dan tempoh bayaran balik yang fleksible.



Antara modal yang digunakan untuk menarik peminjam.

Peminjam hanya perlu mengisi borang dalam aplikasi tersebut, kemudian lampirkan gambar kad pengenalan dan selfie peminjam sambil memegang kad pengenalan mereka.

Antara aplikasi Ah Long yang ditemui wartawan adalah My Fund, Speedy Loan, Top Credit dan Malaysia Bank Loan.

Walaupun menggunakan nama yang berbeza, ada diantara aplikasi ini didakwa milik sindiket yang sama kerana nombor akaun bayaran balik yang digunakan adalah sama.

Usaha mStar untuk menyemak "lesen" syarikat Ah Long ini bagaimanapun gagal kerana laman web yang disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, iaitu badan yang mengeluarkan lesen kepada syarikat pinjaman kredit ini tidak boleh diakses.

Untitled4

Laman web yang disediakan KPKT untuk memeriksa lesen syarikat pinjaman kredit di negara ini tidak boleh digunakan.

Ah Long curi video intim dari telefon bimbit

Bercakap kepada mStar, Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsuddin Mohamad Fauzi berkata, mereka menerima pelbagai kes termasuk mangsa yang diugut dengan menggunakan video intimnya bersama suami yang "dicuri" dari telefon bimbit mereka.

“Ada juga kes yang kami terima Ah Long terbabit berjaya curi video hubungan sulit suami isteri dan kemudian mereka sebarkan.

“Lepas tu ada yang mereka ambil gambar mangsa kemudian edit letak gambar buah dada orang lain dan mereka sebarkan dengan caption lucah atau mesej cakap mangsa ini pelacur, mereka letak sekali nombor telefon bimbit mangsa.

“Mereka juga berani menggunakan agama dalam hujah mereka,” katanya.

WhatsApp Image 2021-10-28 at 12.11.53 AM

Gambar serta maklumat seorang peminjam digabungkan dengan gambar lucah lain kemudian disebarkan.

Curi nombor telefon dan malukan peminjam pada rakan-rakan

Menggunakan nombor telefon yang diambil dari telefon bimbit mangsa, Ah Long ini akan mewujudkan Whatsapp group untuk memalukan peminjam atau menghantar mesej kepada rakan-rakan mangsa mendakwa mereka telah dijadikan penjamin.



Whatsapp group yang dicreate untuk malukan peminjam dalam kalangan rakan-rakan dan keluarga.

Menurut Samsuddin ini bertujuan menakutkan rakan-rakan dan ahli keluarga mangsa supaya mereka juga akan 'bantu' desak mangsa untuk membuat bayaran kepada sindiket tersebut.

“Ada yang mesej rakan peminjam suruh beritahu peminjam jangan lari, ada yang hantar video, ada juga yang buat Whatsapp group, dalam tu ada kawan-kawan semua mangsa, kemudian mereka akan malukan mangsa.

“Malahan ada yang cakap mangsa beri nama mereka sebagai guarantor kemudian individu ini akan kejar dan tekan mangsa tanpa usul periksa sebab Ah Long ni memang kita tahu amat digeruni masyarakat jadi mereka ambil kesempatan atas ketakutan ini untuk mempermainkan emosi peminjam,” katanya.



Ah Long terbabit menipu dengan mendakwa peminjam menjadikan rakannya sebagai penjamin dengan harapan rakannya akan menekan peminjam untuk membuat bayaran kepada Ah Long terbabit.

Janji lain, lepas lulus pinjaman lain pula ceritanya

Semakan mStar mendapati rata-rata Ah Long ini menawarkan faedah sebanyak 1.5 peratus sebulan - iaitu mengikut kadar yang ditetapkan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 iaitu tidak melebihi 12 peratus setahun bagi pinjaman bercagar dan 18 peratus setahun bagi pinjaman tidak bercagar.

Salmah, salah seorang mangsa Ah Long ini mendakwa, itu semua hanyalah modal untuk memerangkap mangsa.

Katanya, sindiket terbabit akan mengubah terma perjanjian pinjaman tersebut sesuka hati apabila pinjaman telah diluluskan.

“Jangan percaya calculator (menu yang menerangkan maklumat bayaran balik dalam aplikasi Ah Long) tu, nanti lepas dia approved dia cerita lain, selalunya mereka akan ambil 30 peratus daripada jumlah pinjaman dan tak akan bagi bayar balik bulanan.

“Dia akan bagi alasan pinjaman kali pertama, jadi kena buat bayaran balik secara mingguan dan kalau lewat bayar dia akan letak bunga yang tinggi,” jelasnya.

Menurut Salmah dia pernah memohon pinjaman sebanyak RM1,500 daripada aplikasi My Fund namun hanya menerima RM1,050.

Walaupun pada mulanya mereka mengistiharkan bahawa kadar faedah yang dikenakan hanyalah 1.5 peratus, Salmah diarah membayar balik RM487.50 selama empat kali atau RM1950.

Ini bermaksud faedah yang dikenakan adalah 86 peratus daripada jumlah yang diterimanya.



Kebanyakan apps ini mendakwa faedah mereka sebanyak 1.5 peratus.

Jenayah Peras Ugut

Samsuddin yang aktif membantu mangsa-mangsa yang ditekan Ah Long ini berkata, polis tidak seharusnya menyiasat aktiviti Ah Long ini sebagai jenayah penipuan pinjaman wang semata-mata kerana ia melibatkan jenayah peras ugut.

Jelasnya ada peminjam yang menerima hanya RM170 tetapi dipaksa untuk bayar balik sehingga RM40,000.

“Ada diantara mangsa yang pinjam kurang dari RM1,000 mereka terima separuh atau satu jumlah yang lebih kecil, kemudian mereka diperas ugut untuk bayar balik satu jumlah yang jauh lebih besar, kita ada satu kes dia dapat cuma RM170 tapi dia bayar sehingga RM40,000 sebab dia takut bila diugut akan diviralkan.

"Ini bukan kes Ah Long, polis kena lihat kes ini dibawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan (Mendatangkan kepada seseorang ketakutan bencana dengan tujuan hendak melakukan pemerasan) sebab mereka guna maklumat peminjam untuk ugut mangsa walaupun bila mereka dah bayar,” katanya.



Selfie yang dihantar peminjam digunakan sebagai modal untuk memalukan mereka semula.

Sasar penerima bantuan kewangan

Selain itu Samsuddin berkata antara modus operandi terbaru Ah Long ini adalah dengan menyasarkan golongan B40 yang menerima wang bantuan kerajaan termasuk bayaran i- Citra dan iSinar.

"Gangguan Ah Long ini katanya akan semakin menjadi-jadi apabila mereka tahu bahawa bayaran wang bantuan telah dimasukkan ke akaun peminjam," tambahnya.

Samsuddin mendakwa selain warga tempatan, sindiket ini turut di dalangi warga asing.

“Bila mereka telefon mangsa kita boleh dengar loghat tu macam Indonesia, ada juga yang beroperasi dari Singapura, Jepun pun ada,” ujarnya.

Peminjam buntu hendak bunuh diri

Menurut Samsuddin, ada juga peminjam yang tertekan serta buntu tidak tahu hendak mengadu ke mana bertindak cuba membuuh diri.

“Tak ada mana-mana pihak yang tampil menceritakan situasi sebenar, mereka ini rasa seperti mereka tidak mendapat sebarang permbelaan.

“Mereka ini perlu diberi kata-kata semangat serta tunjuk ajar bagaimana boleh menangani kegiatan Ah Long ini, apa ayat yang perlu mereka jawab kepada rakan-rakan yang mendesak mereka tanpa usul periksa, bagaimana ingin melaporkan kepada pihak polis,” terangnya.

Nantikan laporan pendedahan selanjutnya mStar mengenai isu ini pada Jumaat dan Sabtu..

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain