HANGAT diperkatakan di media sosial mengenai kemiskinan haid di Malaysia sehingga Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dikritik susulan kenyataannya bahawa isu tersebut tidak begitu serius di negara ini. Nurulhidayah memberi respons kepada satu kenyataan bahawa terdapat wanita tidak berkemampuan yang sanggup mengandung berulang kali bagi mengelakkan datang bulan yang secara tak langsung memerlukan mereka membeli tuala wanita. Anak Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu bagaimanapun tampil menjelaskan bahawa dia bukan membantah pemberian bantuan tuala wanita tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: 130,000 remaja wanita B40 terima agihan tuala wanita tiap bulan Sebaliknya Nurulhidayah mempersoalkan kewajaran bantuan itu diberikan tanpa memberikan ilmu dan pengetahuan yang khusus untuk wanita B40 berdikari. "Keperluan miskin bandar dan miskin pedalaman adalah berbeza. Faham nak bagi pad free tu. Bukan bantah atau tak setuju. "Tapi sampai bila kita nak ajar menerima tanpa memberi ilmu dan pengetahuan yang khusus untuk para wanita B40 berdiri sendiri? "Sewajarnya mereka ini kita ajar cara nak cari duit, sustainability," katanya yang mengulangi pendirian itu, yang mana ia turut dinyatakan menerusi laman Instagram miliknya. Nurulhidayah. -gambar fail The Star Sebagai bentuk bimbingan secara khusus, Nurulhidayah mencadangkan agar golongan berkenaan diberikan modal dan ilmu untuk terlibat dalam perniagaan. "Cara perancang keluarga yang betul. Ini jangka masa panjang untuk rakyat. Bukan jangka masa singkat. Bagi pad, lepas tu? "Banyak je NGO (badan bukan kerajaan) boleh turun bagi ilmu meniaga dan kerajaan support dengan modal dan follow up... kerajaan kita way better than this. "Banyak lagi cara nak perjuangkan nasib golongan B40. Itu maksud saya," ujarnya. Kenyataan Nurulhidayah itu turut dikongsikan bersama satu tangkap layar portal berita mengenai cadangan supaya bantuan tuala wanita wajar diberikan kepada semua wanita B40. Menerusi laporan tersebut, Ketua Pemudi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuanita Muda) Nurul Ashikin Mabahwi menyifatkan bantuan itu wajar diberikan agar dapat membantu wanita daripada mengandung dengan kerap gara-gara tidak mampu membeli tuala wanita. Kenyataan tersebut dibuat susulan pengumuman kerajaan dalam Bajet 2022 pada Jumaat lalu untuk mengedarkan kit kebersihan diri seperti tuala wanita setiap bulan kepada 130,000 remaja perempuan daripada keluarga B40. Nurulhidayah turut membuat kenyataan di Instagramnya ketika menjawab komen salah seorang pengguna yang membangkitkan mengenai wujudnya wanita tidak berkemampuan yang sanggup mengandung berulang kali bagi mengelakkan datang bulan. "Saya sedar mengenainya (mengandung untuk mengelakkan datang bulan), tapi bukan di Malaysia. Mana ada pad (tuala wanita) harga kayangan pun," katanya. Antara reaksi Nurulhidayah di Instagram berhubung kenyataan membabitkan bantuan tuala wanita. Sementara itu, Exco Wanita PKR Pusat, Napsiah Khamis menepis dakwaan Nurulhidayah bahawa tuala wanita di Malaysia adalah murah dan tiada isu kemiskinan haid di Malaysia. "Adakah Nurul menyamakan kehidupan mewahnya sama seperti wanita-wanita lain? Adakah kemiskinan itu satu perkara yang perlu ditertawakan?" katanya dalam satu kenyataan. Napsiah yang juga pengerusi NGO Bidadari menyuarakan pandangannya berdasarkan pengalamannya yang bergiat aktif dalam kempen kemiskinan haid. Menurutnya, wanita gelandangan menggunakan tisu di tandas awam atau kain di dalam tong sampah, selain terdapat wanita susah menggunakan stoking semasa haid. "Ada wanita susah kembali ke zaman 20 tahun dulu menggunakan kain batik atau baju lama semasa haid untuk jimatkan kos. "Remaja perempuan tidak pergi ke sekolah kerana tiada tuala wanita. Wanita susah tidak ganti tuala wanita semasa haid untuk jimatkan penggunaan," katanya yang merujuk pemakain tuala wanita yang sama seharian. Sehubungan itu, dia mempersoalkan Nurulhidayah yang mengatakan tiada masalah kemiskinan haid berlaku di negara ini. "Saya menyangkal sekeras-kerasnya bahawa tiada masalah kemiskinan di Malaysia malah saya mendesak supaya kerajaan mengambil serius dan mencari penyelesaian untuk isu ini," katanya. Ditanya mengenai penafian Napsiah, Nurulhidayah ketika dihubungi berkata, masing-masing berhak menyuarakan pendapat dan pandangan mereka. "Dalam memberi pendapat, tiada yang betul dan tiada yang salah. Setiap individu punya hak beri pendapat menurut pandangan peribadi masing-masing," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI TONTON VIDEO PILIHAN!