SEDIH dengan takdir yang menimpa, namun keluarga juruterbang, Kapten Mohamad Affendi Bustamy reda dengan pemergian mengejut itu. Begitulah yang diuangkapkan salah seorang wakil keluarga dalam nada sebak ketika ditemui di pekarangan Jabatan Unit Forensik Hospital Seberang Jaya pada Rabu. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dengar dua dentuman sangat kuat” – Pesawat TUDM terhempas, seorang terbunuh Jenazah Allahyarham yang maut dalam nahas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas terhempas dalam sesi latihan di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, Butterworth pada malam Selasa akan dikebumikan di kampung halamannya di Muadzam Shah, Pahang pada Rabu. Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya kira-kira jam 2 petang untuk dibawa ke kampungnya menggunakan pesawat milik TUDM. Mayat Allahyarham Mohamad Affendi telah menjalani proses bedah siasat pada pagi Rabu sebelum dituntut ahli keluarganya. Dalam pada itu, adik Allahyarham yang hanya mahu dikenali sebagai Nur berkata, beliau bersama isteri Allahyarham yang enggan dikenali telah datang ke HSJ untuk proses pengecaman mayat arwah abangnya. Menurutnya, arwah abangnya tinggal bersama isterinya di Labuan dan menjalani latihan di Pangkalan Udara Butterworth TUDM. "Arwah abang datang ke sini (Pangkalan Udara Butterworth TUDM) untuk menjalani latihan, manakala kakak ipar sedang bercuti di Kelantan. Nahas berlaku ketika kedua-dua juruterbang itu sedang melaksanakan latihan penerbangan. "Saya dan kakak ipar bergegas ke sini setelah menerima berita yang menimpa abang. "Walaupun sedih, kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah," katanya. Isteri Allahyarham bagaimanapun enggan ditemu bual kerana masih terkejut dengan kejadian yang menimpa suaminya itu. "Saya minta beri ruang kepada kakak ipar," kata Nur lagi. Allahyarham berusia 31 tahun merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan disifatkan sebagai anak yang bertanggungjawab ke atas keluarganya. Dalam kejadian malam Selasa, Kapten Mohamad Affendi disahkan meninggal dunia dalam nahas pesawat TUDM yang terhempas dalam sesi latihan di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, Butterworth. Sementara, Mejar Mohd Fareez Omar, 33, dilaporkan yang mengalami kecederaan berada dalam keadaan selamat dan stabil dan kini sedang diberikan rawatan di HSJ. Nahas itu berlaku pada lebih kurang jam 10.07 malam ketika kedua-dua juruterbang itu sedang melaksanakan latihan penerbangan (Night Flying). Pihak TUDM juga akan menubuhkan Lembaga Siasatan terperinci mengenai insiden tersebut. - Sinar Harian. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI