suria

Allison Lai raih Anugerah Wartawan Terbaik Media Cetak anjuran Perkeso

Esther Ng menerima anugerah tersebut bagi pihak Lai.

LIPUTAN The Star mengenai perlindungan pekerja mendapat pengiktirafan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Wartawan The Star, Allison Lai dianugerahkan "wartawan terbaik untuk media cetak" dan membawa pulang wang tunai RM2,000 pada Anugerah Media Perkeso yang julung kali diadakan.

Ketua pegawai kandungan Star Media Group Esther Ng menerima anugerah tersebut bagi pihak Lai, yang tidak dapat menghadiri majlis itu kerana dia kini berada di Melaka bagi membuat liputan pilihan raya negeri.

Lai yang sangat gembira berkata dia berharap dia boleh menghadiri majlis serta menerima anugerah tersebut.

"Ini benar-benar satu kejutan yang menggembirakan dan saya berterima kasih kepada Perkeso atas pengiktirafan itu," katanya pada Khamis (18 Nov).

Dia turut memuji Perkeso kerana bersikap terbuka dalam berkongsi maklumat dan data dengan pengamal media, sambil menambah bahawa maklumat tersebut membantu menghasilkan artikel yang baik serta menonjolkan pencapaian dan usaha Perkeso dalam keselamatan sosial dan perlindungan pekerja.

"Etika kerja tinggi yang ditunjukkan Perkeso harus dicontohi agensi kerajaan yang lain," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pihaknya menerima sejumlah 250 calon bagi sembilan kategori anugerah.

“Media bertindak sebagai jambatan antara Perkeso dan masyarakat dengan berkongsi maklumat dan berita.

“Tanpa media, mungkin ramai yang tidak tahu tentang fungsi dan faedah yang diberikan oleh Perkeso kepada pencarumnya,” katanya.

Mohammed Azman turut merakamkan penghargaan terhadap media kerana "mencipta sejarah demi sejarah bersama kami" ketika Perkeso meraikan jubli emasnya tahun ini.

"Setiap gambar dan petikan berita oleh saudara dan saudari telah membantu meningkatkan tahap kesedaran orang ramai tentang peranan Perkeso dalam melindungi keselamatan sosial di negara ini."

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan, dalam ucapan perasmiannya, memuji media kerana memainkan peranan dalam menjelaskan salah faham dalam kalangan rakyat mengenai penyaluran atau pengurusan inisiatif yang dilancarkan untuk membantu pekerja yang terjejas.

“Saya berharap malam Anugerah Media ini akan bertindak sebagai pemangkin merapatkan hubungan antara kementerian dan agensinya khususnya Perkeso dan media,” katanya. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain