suria

Fikir sebelum bertindak! Kawalan kendiri kandungan tanggungjawab setiap individu

CMCF sedang menjalankan latihan rundingan awam di seluruh negara bagi mengumpul maklum balas mengenai cadangan semakan Kod Kandungan.

WALAUPUN pandemik Covid-19 telah meningkatkan penggunaan digital dalam semua aspek kehidupan rakyat Malaysia, ia juga telah menimbulkan kegusaran baharu berkaitan aspek keselamatan dalam talian.

Dengan mengambil kira penggunaan platform digital yang semakin meningkat naik dalam kalangan pengguna, ianya telah menjadi fokus utama Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), dalam usahanya untuk merombak Kod Kandungan tahun ini.

"Ia adalah satu rombakan holistik bertujuan untuk menangani jurang dasar dalam peraturan kandungan bagi menggalakkan ekosistem kandungan yang kukuh serta mengimbangi antara pembangunan industri dan perlindungan pengguna,” kata Pengarah Eksekutif CMCF Mediha Mahmood.

Pada asasnya, Kod Kandungan merupakan sebuah pemudahcara dalam menerapkan elemen kawalan kendiri kepada pembuat kandungan, serta sebagai pelengkap kepada perundangan, iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM98) untuk bersaing dengan pelbagai industri yang mendepani inovasi dan pertumbuhan berterusan, termasuk kandungan komunikasi dan industri multimedia.

Justeru, di bawah AKM98, Seksyen 212 memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melantik badan industri, CMCF, bagi menyokong dan menyelia pengawalseliaan kendiri kandungan melalui Kod Kandungan.

“Kod Kandungan adalah instrumen yang digunakan untuk mentafsir kesalahan dalam Seksyen 211 dan Seksyen 233 AKM98, seperti kandungan yang tidak senonoh, lucah, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan,” jelasnya.

Beliau menambah, Kod Kandungan diformulasikan oleh industri serta komuniti dan harus menjadi titik rujukan untuk semua orang, terutamanya kerana di bawah AKM98 Seksyen 98(2), pematuhan kepada Kod Kandungan akan menjadi pembelaan terhadap sebarang pendakwaan, tindakan atau prosiding dalam apa jua bentuk, sama ada di mahkamah atau sebaliknya.

cmcf6

Pengarah Eksekutif CMCF Mediha Mahmood.

Buat masa ini, CMCF sedang menjalankan latihan rundingan awam di seluruh negara bagi mengumpul maklum balas mengenai cadangan semakan Kod Kandungan.

Sebanyak hampir 800 maklum balas telah dterima setakat ini, dengan orang ramai diberi akses kepada kertas rundingan awam dan pilihan untuk menghadiri sesi-sesi town hall untuk mereka melihat setiap semakan yang dicadangkan.

“Semakin banyak input yang kami perolehi daripada orang ramai, semakin besar kemungkinan Kod Kandungan mencerminkan piawaian masyarakat Malaysia, yang mana ia akan digunakan sebagai ukuran untuk kami menentukan garis panduan dan amalan terbaik dalam kod tersebut,” kata Mediha.

cmcf3

Terdapat lapan bidang fokus utama untuk rombakan Kod Kandungan, iaitu:

> Keganasan berasaskan seksual dan jantina ‘Gender Based Violence’ (GBV) dalam talian sebagai satu bentuk kandungan ganas.

> Meningkatkan hak orang kurang upaya (OKU).

> Meningkatkan hak kanak-kanak dalam pengiklanan.

> Individu berpengaruh (influencers) dan pengendali pasaran dalam talian sebagai pengiklan.

> Pendedahan dalam mengenal pasti iklan oleh influencers dan menerusi ruang berbayar dalam berita.

> Pengiklanan bertanggungjawab arak yang memabukkan di bawah peraturan yang ketat.

> Larangan terhadap eksploitasi agama dalam iklan.

> Memastikan kandungan Islamik hanya menampilkan penceramah dan pendakwah yang bertauliah.

Antara pertimbangan utama untuk rombakan itu termasuklah pertumbuhan pemasaran individu berpengaruh (influencers) dalam pengiklanan, sebagai laras kepada anjakan paradigma dalam pengiklanan di platform media sosial.

Individu berpengaruh mempunyai pengaruh sosial dalam komuniti mereka dan mempunyai kuasa yang besar dalam membentuk pandangan awam serta tingkah laku pengguna dalam mengetengahkan produk dan perkhidmatan pengiklan mereka.

“Namun perlu diberi perhatian, terdapat pengiklan yang tidak bertanggungjawab di luar sana, yang mengeksploitasi dan memanipulasi mereka untuk melanggar peraturan pengiklanan. Sebagai contoh, mempromosi produk yang tidak dibenarkan untuk diiklankan di platform pengiklanan tradisional, seperti produk kosmetik yang dilarang atau makanan dengan dakwaan untuk kesihatan,” katanya sambil menambah bahawa ada influencer yang memilih untuk menyembunyikan kesepakatan komersil bersama jenama-jenama dengan iklan palsu dengan testimoni berskrip.

Isu lain yang membawa kepada beberapa perubahan yang dicadangkan dalam rombakan Kod Kandungan ialah pertumbuhan pasaran Muslim dan mengeksploitasi agama melalui gimik pemasaran.

Beliau menegaskan: “Malang sekali ada pihak yang tidak bertanggungjawab memanfaatkan pasaran Muslim yang semakin berkembang dengan menjual barangan atau perkhidmatan dengan ‘gimik Islamik’ serta mengelirukan pengguna dengan ‘janji syurga’. Fenomena ini tidak ditangani dengan secukupnya dalam Kod Kandungan dan merupakan salah satu daripada banyak semakan yang kami cadangkan untuk dilaksanakan."

cmcf2

Pengerusi CMCF Kenny Ong.

Penambahbaikan lain kepada Kod Kandungan semasa termasuklah hak OKU, dengan pengenalan peruntukan baharu untuk meningkatkan lagi hak dan kepentingan mereka, terutamanya dari segi kebolehcapaian kepada kandungan.

Selain itu, tambahan yang tepat pada masanya ialah memasukkan penyalahgunaan dalam talian dan GBV sebagai larangan terhadap kandungan ganas.

“Penderaan online’ tidak diambil sebagai terlalu serius. Ramai yang mengatakan bahawa 'penderaan online' bukanlah 'penderaan sebenar', kerana mereka menganggap mangsa boleh sahaja keluar dari talian dan dengan cara itu mangsa sudah dapat melindungi diri.

“Tetapi ini adalah pendapat yang salah, terutamanya kerana sekarang internet adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan seharian manusia, di mana kewujudan kita secara dalam talian adalah lanjutan daripada identiti dan personaliti kita. Jadi, reputasi dan kehormatan seseorang itu sama penting untuk dilindungi sama ada dalam atau luar talian,” katanya.

GBV, yang merujuk kepada perbuatan berbahaya yang ditujukan kepada individu berdasarkan jantina, juga termasuk ucapan seksual yang tidak diingini, penyiaran media seksual tanpa persetujuan, ancaman, doxing, intipan siber dan gangguan rangkaian dari perspektif digital.

“GBV dalam talian boleh menyebabkan kemudaratan yang serius kepada mangsa dan juga kepada komuniti digital, dengan menghakis nilai hak asasi manusia di internet dan menghalang ruang siber berkembang maju dengan selamat dan saksama untuk semua orang,” katanya.

Mereka yang berminat untuk memberikan maklum balas mengenai cadangan semakan Kod Kandungan boleh melayari www.contentforum.my

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain