SEORANG pemandu lori berusia 31 tahun dikenal pasti sebagai salah seorang mangsa yang terperangkap dalam insiden runtuhan tanah di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada Khamis (2 Disember). Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata semakan dengan majikan mangsa mengesahkan lelaki tersebut menghantar sayur-sayuran dari Cameron Highlands ke Ipoh. Majikan mangsa telah mengesahkan bahawa hanya lelaki berkenaan sahaja menaiki lori itu. ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh di jalan Cameron Highlands, kenderaan dipercayai tertimbus "Buat masa ini, kami hanya boleh mengesahkan seorang mangsa terperangkap, dan usaha sedang dijalankan untuk menyelamatkannya. "Pasukan penyelamat ketika ini berjaya mengesan bahagian hadapan lori itu, dan kami yakin mangsa akan ditarik keluar dari runtuhan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. Mior Faridalathrash berkata jengkaut digunakan untuk membersihkan runtuhan. Beliau menasihatkan orang ramai menggunakan jalan dari Tapah untuk menuju ke Cameron Highlands. Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata sebuah Vellfire turut terperangkap dalam runtuhan tersebut. Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.44 tengah hari Khamis. - THE STAR Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI