suria

Polis serbu parti liar kolam renang, 303 ditahan

Polis serbu parti liar kolam renang.

SERAMAI 303 orang, termasuk ramai wanita berpakaian bikini, ditahan susulan serbuan pada sebuah pesta liar di kolam renang sebuah kelab swasta terkenal di Kuala Lumpur.

Orang ramai sedang berpesta ketika polis menyerbu lokasi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata polis menahan 161 lelaki warga asing dan 55 wanita warga asing bersama 31 lelaki tempatan dan 56 wanita tempatan kerana terlibat dalam parti liar itu.

“Serbuan dilakukan kira-kira jam 10.50 malam Ahad (5 Dis), diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor

"Ia melibatkan 150 pegawai dan anggota dari JSJ Kuala Lumpur dan ibu pejabat polis daerah Brickfields," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan awal pagi Isnin (6 Dis).

Setiap pengunjung parti dikenakan bayaran RM60 setiap seorang dan mereka dijemput melalui media sosial, kata ACP Amihizam.

“Sebanyak 87 warga tempatan yang ditahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan kompaun telah dikeluarkan.

“Warga asing yang ditahan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Brickfields untuk siasatan lanjut,” katanya.

Anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur turut menjalankan ujian air kencing ke atas pengunjung parti tersebut.

ACP Amihizam menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang bertentangan dengan SOP Covid-19.

“Kami menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah menghubungi polis Brickfields di talian 03-22979222, talian hotline polis KL di 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.

ACP Amihizam berkata pengurus kelab dan penganjur parti masing-masing diberikan notis kompaun RM25,000.

“Seramai 87 warga tempatan itu diberikan notis kompaun berjumlah RM435,000 manakala notis kompaun RM1,080,000 kepada 216 warga asing.

“Secara keseluruhannya, notis kompaun RM1,565,000 dikeluarkan pada parti liar itu,” katanya. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain