SEJAK pandemik Covid-19 membadai seluruh dunia awal tahun lalu, impak penularan virus maut tersebut bukan calang-calang. Bukan sahaja menyebabkan ramai orang kehilangan insan tersayang, malah kesan yang paling besar sudah tentu daripada aspek ekonomi. Di Malaysia sahaja, seramai 90,470 individu hilang pekerjaan bagi tahun ini berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 28 Oktober lalu. Justeru, dengan adanya Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui PERKESO, ini dilihat mampu membuka lembaran baharu kepada golongan pencari kerja. Rata-rata pengunjung khususnya pemohon melahirkan rasa teruja kerana karnival yang disertai sekurang-kurangnya 75 majikan termasuk syarikat multinasional, dilihat menjadi platform terbaik untuk pencari kerja apatah lagi terdapat lebih daripada 24,000 peluang pekerjaan yang menanti. Zafirah Zainal Abidin tidak ketinggalan mengunjungi Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia selepas setahun ditamatkan perkhidmatan di syarikat terdahulu. Bagi Zafirah Zainal Abidin, 32, peluang untuk menghadiri karnival kerjaya itu adalah perkara yang amat dinanti-nantikan selepas hampir setahun mencuba nasib sejak dia diberhentikan daripada syarikat lamanya, Disember lalu. "Hampir setahun saya cari kerja, secara aktif, tapi tak ada rezeki lagi. Kalau ada tawaran kerja pun, ia kurang bersesuaian. Dalam tempoh itu, saya dikurniakan cahaya mata kedua. Nak kerja pun anak masih kecil. "Sekarang anak dah berusia empat bulan, jadi bila dapat tahu ada karnival kerjaya ni, saya terus datang. Kalau boleh nak datang tiga hari berturut-turut, mana tahu ada rezeki. "Saya percaya ini adalah platform yang bagus untuk kita mencari kerja sebab di sini pun mereka menyediakan sesi 'quick interview'. Bagus sangat sebab sekarang nak dapat panggilan interview pun susah. Jadi inilah peluang terbaik untuk pencari kerja," kata ibu kepada dua cahaya mata ini. Sementara itu, Mohd Rahimee Subramaniam Abdullah, 48, yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang cari gali minyak turut melihat karnival kerjaya ini sebagai peluang terbaik untuknya kembali berkhidmat selepas lebih setahun 'bergelut' mencari pekerjaan. Rahimee yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang cari gali minyak turut terkena tempias Covid-19. "Saya bekerja selama 11 tahun di negara Timur Tengah dalam bidang cari gali minyak dan pengurusan fasiliti. Saya terkena tempias ketika Covid-19 menular dan diberhentikan kerja pada Mac 2020. "Dalam tempoh setahun lebih itu, saya pernah mohon hampir 150 pekerjaan secara online, ada lalui beberapa kali sesi temuduga juga secara online. Namun belum ada rezeki. Mungkin faktor usia, gaji, pengalaman atau sebagainya. "Hanya bulan lalu saya diterima sebagai pensyarah separuh masa di Universiti Malaya untuk satu semester. Jadi bila dapat tahu mengenai karnival ini, saya nak cuba nasib. Di sini, kita jumpa recruiter secara bersemuka jadi ini pendekatan yang bagus," ujarnya yang berasal dari Kajang, Selangor. Bagi lepasan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Amir Faisal, dia turut tidak mahu ketinggalan mencuba nasib mencari peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat yang mengambil bahagian. "Saya baru habis belajar Oktober lalu. Bila dapat tahu mengenai kerjaya ini daripada rakan, saya tak teragak-agak nak datang. Selepas habis belajar, ada juga buat kerja part-time tapi memang 'lari' bidang. Amir yang baru menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, Oktober lalu, melihat Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia sebagai platform terbaik untuk golongan sepertinya mencari pekerjaan. "Jadi di sini saya 'aim' untuk cari peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan. Saya rasa ini adalah peluang untuk mereka yang 'fresh graduate' untuk mencuba peluang yang terhidang. Bagi sesiapa yang berkelapangan, datanglah ke karnival kerjaya ini," ujar pemuda berusia 23 tahun ini. Bagi yang berminat untuk turut serta, Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia ini berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 9 hingga 11 Disember 2021. Sekurang-kurangnya 75 majikan yang mengambil bahagian dalam karnival ini yang terdiri daripada pelbagai industri termasuk syarikat besar dan ternama seperti ExxonMobil, Prasarana, KPMG, UOA Group dan lain-lain. Menurut Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, penganjuran karnival berkenaan merupakan komitmen berterusan daripada agensi itu dalam usaha membantu merancakkan semula ekonomi negara. "Ini juga memberi ruang serta peluang kepada masyarakat umum untuk mencari pekerjaan lebih-lebih lagi ketika tempoh pandemik Covid-19 yang masih belum reda. "Apa yang menariknya dalam penganjuran karnival pekerjaan kali ini, kami mengetengahkan konsep hibrid, yang mana kami mengadakan aktiviti fizikal dan kami turut mengadakan aktiviti ini secara dalam talian khusus bagi pencari kerja yang tidak dapat hadir secara fizikal. "Mereka boleh mengikuti taklimat dan ceramah secara dalam talian menerusi beberapa pusat-pusat satelit MYFutureJobs di seluruh Malaysia serta di platform media sosial rasmi Perkeso seperti Facebook dan Youtube. "Ini adalah semangat keprihatinan dan Keluarga Malaysia yang kami amalkan agar tiada sesiapapun yang tercicir dalam mendapat manfaat daripada penganjuran aktiviti yang kami laksanakan khususnya melibatkan perkhidmatan pekerjaan," ujarnya. Mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung, Mohammed Azman berkata bagi penganjuran karnival untuk tahun hadapan, PERKESO akan terus mempergiat dan melipatgandakan usaha dalam membantu lebih ramai rakyat Malaysia yang terkesan akibat Covid-19 dengan bantuan yang sewajarnya. Ujarnya, ini selari dengan inisiatif-inisiatif Bajet 2022 yang diamanahkan kepada agensi itu untuk terus memperluas jaringan keselamatan sosial dan pemerkasaan program pasaran buruh aktif seperti program JaminKerja – Insentif Penggajian PERKESO. "Maka harapan kami adalah agar semua yang terjejas akibat pandemik ini mengambil peluang untuk memperbaharui azam, dan cekal untuk melangkah kembali ke alam pekerjaan kerana perkara itu merupakan satu perlindungan yang amat penting kepada mereka dan keluarga. "Dan PERKESO akan sentiasa bersama-sama dengan mereka, memberikan sokongan dan bantuan sepanjang proses tersebut," katanya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI