PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu, sememangnya memberi kesan besar kepada masyarakat, apatah lagi ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan. Berdasarkan data perangkaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), menunjukkan seramai 140,608 orang hilang pekerjaan akibat pandemik dari Mac 2020 sehingga 20 Ogos lalu. Siswazah bidang elektrikal dari Kolej Komuniti Sungai Siput Perak, Amin Iqram Atan ini tidak terkecuali apabila terpaksa berhadapan dengan kesan Covid-19. Impian untuk mempraktikkan semua ilmu yang dipelajari hampir terkubur apabila sehingga kini tiada syarikat yang mahu mengambilnya bekerja disebabkan pandemik. Bercakap kepada mStar, pemuda berusia 22 tahun ini memberitahu, selepas tamat pengajian pada 2018, dia sempat menamatkan latihan industrinya di sebuah syarikat sebelum diterima bekerja secara tetap. Amin sentiasa optimis meskipun terpaksa berhadapan dengan kesan pandemik. Bagaimanapun sejak Covid-19 melanda, syarikat di Selangor itu tidak mempunyai projek baharu sehingga dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja. "Saya tidak dibuang, tetapi mengambil keputusan untuk berhenti selepas melihat keadaan syarikat yang tidak lagi mempunyai projek baharu disebabkan pandemik. "Ketika itu, saya ingin mencari pekerjaan baharu dan menimba pengalaman di tempat lain," katanya. Pandemik dan kurang pengalaman punca tak dapat kerja baharu Sejak berhenti kerja sekitar Jun tahun lalu, Amin berkata, dia sudah menghantar resumenya lebih daripada lima kali. Ada yang memanggil untuk sesi temu duga, manakala selebihnya sepi tanpa sebarang khabar berita. Amin adalan graduan bidang elektrikal dari Kolej Komuniti Sungai Siput Perak. Menganggap nasib masih belum menyebelahinya, Amin akur dengan situasi semasa, namun dia tidak pernah berputus asa untuk mencari pekerjaan baharu. "Ada syarikat panggil untuk temu duga, tetapi ada memberikan alasan tidak dapat mengambil pekerja baharu disebabkan pandemik, selain faktor saya tidak mempunyai banyak pengalaman. "Sebagai graduan baharu, pasti ada rasa kecewa, tetapi itu bukanlah alasan untuk saya berputus asa kerana bidang elektrikal memang minat saya sejak dahulu," katanya. Masih berharap dapat kembali bekerja dalam bidang elektrik, Amin memberitahu dia tidak mahu mensia-siakan ilmu dipelajari sebelum ini. Tak sedar pelbagai bantuan kerajaan, teruja dengan Bajet 2022 untuk pencari kerja. Mengakui tidak menyedari pelbagai insentif diberikan kerajaan bagi golongan sepertinya, Amin bagaimanapun mengikut rapat Bajet 2022 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober lalu. Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan pada 29 Oktober lalu memberi pelbagai manfaat kepada golongan pencari kerja. Amin berkata, dia paling teruja dengan 600,000 peluang pekerjaan yang dijanjikan pada tahun hadapan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (Jamin Kerja). Menerusi inisiatif itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM4.8 bilion, selain meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui insentif penggajian Jamin Kerja dengan sasaran 300,000 orang membabitkan peruntukan RM2 bilion menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). "Melihat kepada dua inisiatif ini, ia sedikit sebanyak memberi sinar kepada pencari kerja terutama bagi golongan muda seperti saya yang masih mempunyai perjalanan panjang," ujarnya. Di bawah inisiatif ini, kerajaan akan memberi majikan yang mengambil mereka yang tidak aktif berkerja, memberi insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan pekerja bagi tempoh enam bulan pertama, dan dinaikkan kepada 30 peratus bagi enam bulan berikutnya, tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas. Antara insentif dan bantuan lain diperkenal kerajaan bagi golongan pencari kerja dalam Bajet 2022 adalah seperti berikut. Pelbagai insentif penggajian Jamin Kerja yang ditambah baik. 1. 'Malaysia Short-term Employment Programme' atau MySTEP diteruskan dengan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam syarikat berkaitan kerajaan mulai Januari 2022. 2. Bajet 2022 turut menyasarkan 220,000 pelatih untuk menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan peruntukan keseluruhan RM1.1 bilion. 3. Bagi menggalakkan rakyat mengikuti program latihan dan bidang baharu, pelepasan cukai bagi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri, dinaikkan kepada RM2,000 hingga tahun 2023. 4. Pelepasan cukai ke atas yuran sehingga RM7,000, turut diberikan kepada mereka yang mengambil kursus dengan badan-badan profesional yang diluluskan, merangkumi bidang perakaunan, kewangan, berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus. 5. Perkeso juga akan terus menyediakan elaun bagi mereka yang masih mencari pekerjaan, dengan pencarum diberikan bersamaan 80 peratus daripada gaji mereka pada bulan pertama, 50 peratus untuk lima bulan berikutnya, dan 30 peratus untuk bulan kelapan hingga kesepuluh. Pencarum bukan Perkeso juga boleh memohon untuk menerima elaun RM300 selama tiga bulan di bawah skim ini yang dijangka bernilai RM300 juta. 6. Insentif lain termasuk meningkatkan siling gaji diinsuranskan daripada RM4,000 kepada RM5,000 bertujuan meningkatkan keselamatan sosial kira-kira sembilan juta anggota di bawah Perkeso, dan pelepasan cukai RM4,000 untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang mendepositkan secara sukarela. 7. Selain itu, peningkatan had pelepasan cukai daripada RM250 kepada RM350 akan dilaksanakan sambil memperluas skop pelepasan untuk pencarum Perkeso termasuk mereka yang mendeposit melalui Sistem Insurans Pekerjaan. Amin masih berharap dapat kembali bekerja dalam bidang elektrikal. Sementara itu, Amin turut bercadang untuk mengikuti program latihan dan peningkatan kemahiran kerana sedar dia tidak boleh hanya berharap kepada bidang pengajiannya semata-mata. Malah sejak beberapa bulan lalu, Amin bersama beberapa orang rakan, turut membuka perniagaan menjual ikan di pasar Chow Kit, sebagai antara usaha menjana pendapatan dan mengembangkan kemahiran dalam bidang berbeza. "Sejujurnya, saya tiada pengalaman dalam berniaga dan kami membuka gerai menjual pelbagai ikan atas dasar tiada pekerjaan dan ingin menjana pendapatan. "Alhamdulillah, dengan pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran yang diperkenalkan, boleh saya gunakan untuk menambah ilmu dalam bidang perniagaan," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI