SIAPA nak makan pizza? Itu antara persoalan skeptikal yang sering menghimpit Roziah Yahya ketika dia mula berjinak-jinak menceburkan diri dalam perniagaan makanan yang berasal dari Itali itu. Namun bagi wanita berusia 56 tahun ini, setiap kritikan dihadam dengan rasional tanpa perlu melatah kerana ia adalah asam garam dalam kehidupan. Cerita pemilik jenama Zie's Pizza ini, dia menjadikan pizza sebagai sumber rezeki untuk membesarkan anak-anaknya sejak awal 2011. Lebih menarik apabila makanan barat jenamanya sendiri itu mula diperkenalkan kepada umum di Seri Manjong, Perak sebelum memasuki pasaran di Lembah Klang. Pizza pepperoni menjadi antara menu pilihan generasi muda. "Sebenarnya ada sejarah... bekas suami saya pun pertikaikan kenapa pizza? Siapa nak makan pizza? Tapi jawapan saya mudah kerana jika sesuatu perkara itu sia-sia, saya tak akan buat. "Akhirnya terbukti perniagaan ini adalah punca pendapatan untuk saya besarkan anak-anak. "Alhamdulillah saya dan anak-anak mampu bertahan," katanya ketika ditemui mStar baru-baru ini. Mengimbau kenangan silam ketika Zie's Pizza beroperasi sepenuhnya di Seri Manjong, Roziah berkata dia juga melalui detik-detik mencabar di awal perniagaannya. Apabila pemilik pasar raya lihat bungkusan, mereka berminat untuk menjual produk kami. ROZIAH YAHYA PEMILIK ZIE'S PIZZA Selain itu ibu tunggal beranak lima ini juga pernah menjual sendiri pizza panas yang sedia dimakan di pasar malam dan pasar tani dalam usaha memperkenalkan produknya kepada penduduk sekitar. "Boleh dikatakan anak-anak membesar di pasar malam. Walaupun pada ketika itu mereka berada di sekolah berasrama, namun cuti hujung minggu dihabiskan untuk berniaga bersama saya. "Mereka bantu pasang payung, berniaga dalam hujan dan banjir... semua mereka dah rasa," katanya. Setelah 10 tahun berada di pasaran, Zie's Pizza yang dipasarkan secara sejuk beku siap dimasak boleh didapati dalam empat pilihan citarasa iaitu ayam, pepperoni ayam, daging dan pepperoni daging. Roziah mendapat bantuan daripada KPDNHEP bagi memperbaiki mutu pembungkusan produknya. Bukan itu sahaja, Zie's Pizza turut menjual pizza panas dengan citarasa tambahan iaitu tuna dan makanan laut. Menggunakan tagline 'resepi antarabangsa, citarasa Malaysia', pizza keluaran Zie's Pizza mempunyai keistimewaan tersendiri apabila ia merupakan produk sejuk beku yang siap dimasak sepenuhnya. Ia bermaksud pelanggan yang tidak mempunyai alat pembakar atau oven juga mampu untuk menikmati pizza keluarannya kerana ia sebenarnya sudah siap dimasak. "Kelebihan kepada pelanggan kami ialah mereka hanya perlu panaskan sekejap sahaja dengan pelbagai kaedah. Kalau pizza sejuk beku lain yang hanya separuh masak, mereka perlu juga menggunakan oven. "Selain itu komen daripada pengguna juga, mereka kata roti pizza kami masih lembut walaupun dalam keadaan sejuk," katanya. Pizza yang siap dimasak perlu disejukkan sebelum dibungkuskan. Dalam pada itu Roziah mengakui selain resepi asli yang menepati citarasa penggemar pizza tempatan, pembungkusan produk juga memainkan peranan penting bagi menarik perhatian pengguna. Bagi Roziah dia bersyukur apabila banyak menerima bantuan dan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Ujarnya bantuan geran pembungkusan yang diperoleh daripada KPDNHEP berjaya melonjakkan lagi jualan Zie's Pizza bagi memenuhi permintaan ramai. "Selepas dapat bantuan pembungkusan yang lebih kemas dan cantik, agak mudah bagi kami untuk meneroka pasar raya terpilih. "Apabila pemilik pasar raya lihat bungkusan, mereka berminat untuk menjual produk kami. Roziah berharap golongan usahawan sepertinya sentiasa cekal berdepan cabaran. "Peluang menembusi pasaran pasar raya juga sebenarnya diperoleh dengan bantuan daripada KPDNHEP. Mereka banyak membantu usahawan dalam meningkatkan produktiviti dan jualan. "Sebagai peniaga sudah pasti saya berasa bangga apabila melihat produk sendiri berada di rak pasar raya sebaris dengan jenama terkenal lain," katanya. Namun ujar Roziah, setiap peniaga pasti melalui fasa jatuh dan bangun dan ia perlu diatasi dengan rasional dan tenang. "Jatuh itu perkara biasa tapi jangan terus mengalah. Masa depan dalam bidang perniagaan juga luas selagi kita sentiasa berfikiran terbuka dan kreatif serta bijak mencari peluang. "Kena cekap, jangan putus asa kerana selagi kita berusaha... Allah akan bantu. "Selain itu kita kena berdamping dengan orang yang betul dan positif dan kena ada prinsip untuk mudahkan urusan orang lain," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI