suria

Bank Rakyat tawar moratorium 6 bulan kepada mangsa banjir

Bank Rakyat tawar moratorium 6 bulan kepada mangsa banjir

BANK Rakyat menawarkan kemudahan kelonggaran bayaran ansuran pembiayaan atau moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggannya yang terjejas akibat banjir bermula Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, inisiatif itu bertujuan mengurangkan beban kewangan ditanggung pelanggan yang terjejas akibat banjir dan pada masa yang sama berdepan dengan kekangan kewangan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, Bank Rakyat sentiasa fokus membantu semua pelanggan yang terjejas, seiring dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ dan kami berharap bantuan ini dapat membantu melegakan mereka yang bimbangkan komitmen kewangan ketika waktu yang mencabar ini.

“Justeru, pelanggan Bank Rakyat yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.

“Ini termasuk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Syed Abdul Aziz berkata, pelanggan individu dan perusahaan mikro boleh memohon bantuan moratorium melalui e-mel [email protected] dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan dan salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.

“Pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh terus menghubungi Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil Sederhana dan Koperasi (SME & Cooperatives (SMEC) Business Centre) bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Sebelum ini, Bank Rakyat juga mengumumkan pelbagai bantuan moratorium untuk membantu pelanggannya seperti Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) serta Moratorium Banjir pada awal tahun ini. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain