suria

Hanya linangan air mata gambarkan perasaan melihat kesan banjir di Janda Baik, A. Aida mahu teruskan bantuan di 10 lokasi lain

A. Aida bersama pelakon Zoey Rahman mendengar kisah salah seorang penduduk yang terkesan di Janda Baik.

TIADA kata dapat digambarkan apabila melihat kemusnahan beberapa pusat peranginan dan tapak perkhemahan di Janda Baik, Pahang yang berubah wajah selepas dilanda banjir kilat baru-baru ini.

Chalet dan rumah penduduk sekitar musnah akibat dinaiki air apatah lagi kebanyakan rumah di kawasan itu berdekatan sungai memburukkan lagi keadaan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak sedap hati” - Annuar Musa turun padang, batal cuti tahunan

Bercerita mengenai kejadian itu, Mohd Nazri Noh, 65, memberitahu dia dan keluarga terpaksa meredah air yang mencecah hampir satu meter melalui hutan di belakang rumah ke kawasan lebih tinggi untuk menyelamatkan diri.

Paras air

Mohd Nazri Noh menunjukkan paras air yang naik di kawasan rumahnya.

"Pada awalnya saya tak menyangka air akan naik setinggi itu, sampaikan saya dan isteri terpaksa bertenggek di atas sebuah meja kayu bersama jiran-jiran untuk menyelamatkan diri," katanya kepada mStar.

Cerita Mohd Nazri lagi, mereka berlindung di atas meja itu hampir lima jam sebelum diselamatkan anggota bomba sekitar pukul 3 pagi dan dibawa meredah hutan ke kawasan lebih tinggi.

"Boleh dikatakan itu pengalaman paling tidak boleh dilupakan dan lebih malang apabila 70 peratus barang-barang dalam rumah musnah selain dihanyutkan air," ujarnya.

ATV

Meskipun beberapa motosikal ATV berjaya diselamatkan selepas dihanyutkan air, Muhammad Zaimi pasrah apabila semua kenderaan itu rosak.

Bagi pengusaha ATV Muhammad Zaimi Mustapha, 40, dia terpaksa reda apabila 30 motosikal ATV miliknya musnah dihanyutkan arus banjir dalam kejadian itu.

Lebih memilukan, Muhammad Zaimi berkata, kesemua ATV itu baharu sahaja dibeli sejak dua bulan lalu dalam usaha merancakkan kembali perniagaannya selepas tidak beroperasi hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.

"Saya membelanjakan hampir RM100,000 untuk membeli ATV itu tetapi apakan daya apabila 30 daripada dihanyutkan banjir.

Aida Annuar Musa

A. Aida berbincang dengan Annuar sebelum memulakan misi bantuan.

"Ada diantaranya saya dapat selamatkan selepas bah reda tetapi semuanya rosak dan kos untuk membaikinya lebih mahal," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, 20 buah ATV miliknya yang diletakkan di kawasan tinggi terselamat dan menganggap kejadian itu sebagai dugaan dan bersyukur selamat walaupun mengalami kerugian besar.

Bersimpati dengan nasib penduduk, penerbit terkenal, Datuk A. Aida mengambil inisiatif menganjurkan program menyantuni mangsa-mangsa banjir di Janda Baik pada Sabtu lalu.

photo6212817262390390449

Keadaan pasca banjir yang diselaputi selut dan lumpur.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi badan bukan kerajaan (NGO), Rumah Prihatin turut meluangkan masa hadir pada program itu untuk bersama-sama melawat dan menyerahkan bantuan kepada mangsa terlibat.

Menerusi syarikat produksinya, A. Aida Production Sdn Bhd, penerbit itu dan Annuar berkunjung ke 33 rumah di Pulau Santap, Jalan Lamping dan Chemperoh Bentong untuk mengagihkan barangan keperluan kepada mangsa yang terjejas.

Antara barangan yang diserahkan termasuklah wang tunai RM500 selain bantuan keperluan harian seperti minyak, gula, tepung, beras, air mineral, teh, kopi, biskut dan sebagainya.

Aida bantuan

Selain menghantar bantuan, A. Aida turut bertanyakan keadaan mangsa yang terjejas.

Menerusi kerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), program itu turut disertai Unifi TV Telekom Malaysia, krew penggambaran, orang perseorangan, sukarelawan termasuk selebriti.

Antara selebriti yang hadir pada program itu termasuklah Zoey Rahman dan Ezlynn.

A. Aida ketika ditemui berkata, idea untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk di Janda Baik tercetus apabila dia melawat kawasan itu sejurus selepas kejadian banjir.

file7iznr3vcvk11damrnab

Annuar melihat keadaan kawasan sekitar sungai yang terjejas teruk akbiat banjir.

A. Aida berkata, apabila melihat suasana dan keadaan di situ yang cukup memilukan hati, dia terpanggil untuk membantu selain rakan-rakan terdekat termasuk Annuar turut bersetuju bersama-sama menjayakan program itu.

"Alhamdulillah Allah gerakkan hati saya dan rakan-rakan untuk membantu apabila melihat sendiri keadaan di Janda Baik.

"Cuma linangan air mata yang dapat menggambarkan perasaan ini apabila melihat kemusnahan yang berlaku, ditambah ramai penduduk terkesan akibat banjir.

Aida berbincang sebelum menjalankan misi

A. Aida bersama pasukannya berbincang bagi memastikan bantuan diberi dapat diagihkan kepada semua pihak.

"Apabila berbincang dengan penghulu di Janda Baik, beliau menyenaraikan 33 buah keluarga yang terkesan dan memerlukan bantuan dan bermulalah kami sediakan semua keperluan untuk diagih-agihkan," katanya.

Jelas A. Aida, usaha itu bukan hanya membuka matanya atas kesusahan dilalui oleh orang lain tetapi sudah pun merancang untuk bergerak ke 10 kawasan lain dalam masa terdekat untuk menghantar bantuan.

"Dengan bantuan pihak berkaitan di sekitar Pahang, kami sudah pun mengenal pasti kawasan yang memerlukan bantuan dan Insya Allah dalam waktu terdekat ini kita akan bergerak untuk menghantar bantuan," ujarnya.

Rumah hancur

Zawawi Abdullah menunjukkan sebahagian rumahnya hanyut dibawa arus sungai yang deras.

Sementara itu, Annuar ketika mengulas mengenai program itu melahirkan rasa terharu melihat segenap lapisan masyarakat termasuk orang perseorangan, sukarelawan, selebriti bergabung tenaga bagi membantu mangsa terjejas.

Jelasnya, usaha ditunjukkan adalah bukti rakyat Malaysia prihatin dengan situasi yang melanda negara ketika ini dan berharap ia dapat diteruskan apatah lagi proses pemulihan akan memakan masa.

"Saya sendiri hadir bukan atas kapasiti kerajaan tetapi persendirian bersama Rumah Prihatin dan cukup bangga melihat semua bersatu hati dan bersungguh-sungguh menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Kucing

Kucing antara yang berjaya diselamatkan.

"Apa paling penting ketika ini kita dapat meringankan beban mangsa memandangkan proses pemulihan akan memakan masa," katanya.

Warga kerja mStar yang turut serta dalam program tersebut mendengar keluhan mangsa banjir dan menyampaikan sumbangan kepada mereka yang terkesan akibat bencana itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain