suria

Bantuan mangsa banjir rumah musnah cecah sehingga RM61,000 - PM

Ismail mengumumkan peruntukan hampir RM61,000 untuk mangsa banjir.

KERAJAAN pada Jumaat mengumumkan memperuntukan bantuan mencecah RM61,000 buat mangsa yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda negara di penghujung tahun 2021.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan Tahun Baharu 2022 berkata, Bantuan Banjir Keluarga Malaysia ini termasuklah bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk melakukan kerja-kerja pembaikan rumah yang mengalami kerosakan tidak serius.

Bagi rumah yang rosak teruk pula, kerajaan akan menguruskan baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000, katanya.

Manakala bagi penghuni yang rumahnya musnah dan tidak boleh diduduki pula, kerajaan akan membantu sehingga RM56,000 untuk setiap unit rumah baharu, kata Ismail.

"Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.

"Pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir," katanya.

Selain itu, lebih 45,000 ketua isi rumah juga bakal menikmati Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 yang telah mula diberikan sejak 27 Disember lalu.

"Angka yang akan menerima bantuan ini boleh bertambah ramai apabila kita selesai mengenal pasti mereka yang terkesan tetapi tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara.

"Setakat hari ini, seramai 20,000 ketua isi rumah telah menerima bantuan ini," katanya.

Baucar tunai sebanyak RM500 juga akan diberikan kepada mangsa banjir bagi pembelian barangan elektrik.

Menurut Ismail, jumlah pemberian tunai kepada mangsa banjir mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah.

"Inilah usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan KWSP.

"Dengan usaha ini, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar 5 peratus sekaligus boleh merancang masa depan selepas bersara," katanya.

Terdahulu beberapa pihak tampil mendesak kerajaan untuk meluluskan bantuan RM10,000 i-Citra terutama untuk membantu mangsa yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Selain tempat tinggal, mangsa banjir juga boleh mendapatkan tawaran diskaun sehingga 50 peratus untuk membaik pulih kenderaan mereka yang rosak teruk akibat musibah banjir.

"Bagi pemilik Perodua dan Proton yang terkesan, syarikat ini menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih disamping diskaun 50 peratus ke atas alat ganti, manakala syarikat lain pula menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar.

"Bagi pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir, kerajaan turut menyediakan baucar tunai sebanyak RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan termasuk lori, kereta, motosikal dan lain-lain.

"Pemberian baucar tunai dan diskaun akan dimulakan pada Januari 2022," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain