suria

Tunggang motosikal secara melawan arus, warga emas maut rempuh SUV

Rakaman menunjukkan seorang lelaki menunggung motosikal secara melawan arus di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth, Pulau Pinang dan merempuh SUV.

SEORANG lelaki berusia 55 tahun yang menunggang motosikal secara melawan arus di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth, Pulau Pinang maut selepas merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kejadian itu berlaku kira-kira 1.30 tengah hari Ahad (2 Januari).

Menurutnya, SUV itu dalam perjalanan ke Sungai Dua dari tol Prai apabila lelaki warga emas itu yang menunggang motosikal dari arah bertentangan, merempuhnya di KM4.8.

Lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian, katanya pada Rabu (5 Januari).

Mohd Shuhaily berkata kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terhadap kes itu dianggap ditutup.

Terdahulu, rakaman detik kemalangan itu sempat dirakamkan kamera pemuka (dashcam) SUV tersebut dan tular di media sosial.

Dalam rakaman tersebut, penunggang berkenaan menunggang melawan arus di lorong kiri sebelum melencong ke kanan dan bertembung dengan SUV yang tidak sempat mengelak. -THE STAR

Artikel Lain