suria

Padah gilis kaki anak tiri, pengawal keselamatan dipenjara 5 tahun

Tertuduh, Ramlan Abdul Karim mengaku bersalah menyebabkan cedera ke atas anak tirinya yang berumur 10 tahun. Foto: Sinar Harian

SEORANG pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di Melaka pada Jumaat selepas didapati dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas anak tirinya yang berumur 10 tahun.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ramlan Abdul Karim, 32, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Ramlan didapati telah dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas kanak-kanak tersebut dengan menggilis kakinya menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Ysuku.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Padang pada 7 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku kira-kira jam 11.10 malam selepas tertuduh, yang ketika itu berada di atas motosikal bertengkar dengan isterinya membabitkan hal penceraian di hadapan rumah mereka.

Berang dengan salah faham yang berlaku, tertuduh secara tiba-tiba telah memecut laju motosikalnya sehingga menggilis mangsa yang berada berhampiran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari merayu hukuman berat diberikan dengan mengambil kira faktor umur mangsa yang hanya berusia 10 tahun dan kecederaan dialaminya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakli peguam merayu agar hukumannya diringankan kerana telah insaf selain perlu menjaga ibu dan bapanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain