suria

Gempar ular sawa serang 6 ekor kucing peliharaan

Seekor ular sawa ditemui dalam sangkar kucing. gambar hiasan/ foto APM Baling

TIGA sekeluarga dari Kampung Ulu Seraja di Parit Melana di Melaka digemparkan dengan seekor ular sawa yang membaham kucing peliharaan mereka.

Pemilik rumah, Hasmi Hassan, 56, berkata, ini kali pertama kucingnya ditelan ular sawa.

Katanya, isterinya Ruzita Abu Bakar, 53, mendengar bunyi mengiau dengan kuat pada pukul 3 pagi Rabu dan pada mulanya menyangka seekor kucing jantan cuba mengawan.

"Bagaimanapun, bunyi mengiau berterusan sebelum anak perempuan saya berusia 21 tahun menemui seekor ular sawa sepanjang empat meter di dalam satu daripada tiga sangkar yang menempatkan 14 ekor kucing peliharaan kami," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Hasmi berkata, reptilia itu menyerang enam ekor kucingnya sebelum anak perempuannya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah.

"Keluarga saya sedih dengan kejadian yang berlaku dan kami kehilangan kucing peliharaan kami, serta-merta.

"Amat sukar dipercayai bagaimana ular sawa yang begitu besar boleh masuk ke dalam sangkar dengan kawat yang kecil," tambahnya.

Sementara itu, Pegawai Operasi APM Alor Gajah, Leftenan Abdul Hadi Baharom berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.50 pagi Rabu.

Katanya, empat anggotanya berjaya menangkap ular sawa itu dalam masa lima minit sebelum melepaskan reptilia seberat kira-kira 20 kilogram itu ke habitat asalnya. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain