suria

Hasrat pergi kenduri tak kesampaian, 4 mangsa kemalangan meninggal di tempat kejadian

Kejadian menyebabkan empat mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Foto: PDRM.

HASRAT sebuah keluarga untuk menghadiri kenduri di ibu negara tidak kesampaian apabila mereka terlibat kemalangan pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, empat beranak termasuk tiga kanak-kanak maut dalam kemalangan di simpang lampu isyarat Kilometer (KM) 2 Jalan Lebu-Mempaga dekat Lebuh Raya Central Spine Road, dekat Bentong, Pahang.

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang ingatan akibat kemalangan, lelaki nampak lembaga hitam bermata merah meratah kakinya... seram saat jururawat kata ‘benda’ tu tak ikut balik

Kejadian melibatkan dua buah kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Toyota Vellfire dan pacuan empat roda jenis Nissan Navara.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, mangsa, Raihan Mohamad, 43, beralamat Kuaters Guru Felda Aring 1, Gua Musang, Kelantan dan tiga anaknya, Ahda Dalili Mohd Nazri,14, Ahmad Muaz,7 dan Ahda Imtinan, 4, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, bagaimanapun suami mangsa, Mohd Nazri Hamid, 43, yang juga seorang guru cedera di tangan kiri.

Menurutnya, kereta yang dipandu Mohd Nazri dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kenduri kahwin.

"Apabila sampai di tempat kejadian, Vellfire yang dipandu Mohd Nazri membelok masuk ke simpang kanan selepas lampu isyarat hijau dan ada kenderaan di sebelah kanannya berhenti.

"Tiba-tiba Navara yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun dari arah hadapan dipercayai tidak berhenti semasa lampu isyarat merah di lorong kiri terus melanggar bahagian hadapan kenderaan mangsa itu menyebabkan ia berpusing dan melanggar besi pembahagi jalan," katanya.

Ujarnya, kejadian menyebabkan empat mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambah beliau, semua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat manakala pemandu Navara yang mengalami pendarahan di kepala dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

"Selain itu, satu tiub lut sinar ditemui pada pemandu Navara dipercayai dadah jenis methamphetamine.

"Hasil ujian awal air kencing, pemandu kenderaan itu positif methamphetamine selain memiliki tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan tiga saman," katanya.

Zaiham memberitahu, polis akan membuat permohonan reman terhadap lelaki tersebut yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah dan kes kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain