suria

“Saya terima, salah tetap salah” - Hishammuddin respon arahan kompaun langgar SOP

Hishammuddin berkata dia tidak tahu bahawa perkara tersebut akan berlaku.

INI pengajaran untuk semua.

Demikian kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengakui kesilapannya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika Majlis Pelancaran Briged MIC Johor di EduCity Kota Iskandar pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Padah langgar SOP, KJ arah kompaun Hishammuddin, beberapa pemimpin lain

"Saya hadir sebagai tetamu dan saya terima, memang ada kelemahan dalam pematuhan SOP tadi. Tapi, salah tetap salah.

"Tiada siapa terkecuali daripada undang-undang, termasuk diri saya. Ini pengajaran untuk semua," ujarnya.

Dalam satu video, Hishammuddin berkata dia tidak tahu bahawa perkara tersebut akan berlaku.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memuat naik satu ciapan di Twitter, mengarahkan kementeriannya mengeluarkan kompaun kepada Hishammuddin serta Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran.

Selain itu, Khairy turut mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kompaun pemimpin-pemimpin utama lain yang hadir serta penganjur.

"Saya telah mengarahkan pegawai KKM untuk keluarkan kompaun kepada DS Hishammuddin, DS Hasni, TS Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir dan penganjur di bawah Akta 342.

"KKM Putrajaya akan terus pantau SOP sempena PRN Johor," tulis Khairy di Twitter.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Februari lalu menetapkan 12 Mac sebagai tarikh PRN Johor.

SPR turut mengumumkan hari penamaan calon pada 26 Februari, manakala tarikh mengundi awal 8 Mac.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain