suria

U-turn di plaza tol sebelum pandu lawan arus, lelaki bawa Perodua Axia maut akibat cedera parah pada bahagian dada

Pemandu Perodua Axia mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

PIHAK polis kini sedang mencari mana-manak saksi agar tampil memberi maklumat berhubung kemalangan maut yang berlaku pada awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian itu, seorang pemandu maut manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) di ibu negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai pemasaran pandu lawan arus didakwa bunuh dua remaja

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam kemalangan jam 1 pagi itu, kedua-dua kenderaan berkenaan bertembung di kilometer (km) 6.2 arah Hartamas menghala Plaza Tol Pantai.

"Pemandu Perodua Axia seorang lelaki berumur 28 tahun telah membuat pusingan U di Plaza Tol Pantai lalu memandu secara melawan arus dan melanggar sebuah Proton Saga di lorong paling kiri.

"Pemandu Perodua Axia mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Proton Saga seorang lelaki, berumur 25 tahun telah dihantar ke Hospital Pantai Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau memohon saksi kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 032071 9999, atau Hotline JSPT 0320260267/69 untuk membantu siasatan.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain