suria

Penjawat awam dapat bonus duit raya RM500, orang pencen pun ada!

Kata Ismail, bantuan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara.

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 buat penjawat awam gred 56 dan ke bawah.

Menerusi pengumuman pada Selasa, Ismail berkata bantuan sebanyak RM250 juga akan diberikan kepada pesara kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Raya sakan! Pencarum tak lengah keluar RM10,000 KWSP, doa panjang umur... Harap sempat nikmati saki-baki wang selepas pencen

"Sukacita diumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.

"Kerajaan juga bersetuju untuk memberi bantuan khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan. Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April 2022," ujar Ismail menerusi ciapan di Twitter.

Menurut perdana menteri, bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara.

"Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.

"Kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain