KANAK-KANAK perempuan yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang dari kebun di Kampung Melangkap Darat, Kota Marudu di Kudat, Sabah pada Jumaat, ditemukan lemas kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dilaporkan hilang. Mangsa, Elzanatira Asod, 10, ditemui oleh penduduk kampung bersama pasukan keselamatan pada jam 11.50 pagi, Sabtu selepas rambutnya tersangkut pada kayu di sungai berkenaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kedua dimulakan pada jam 7 pagi di sepanjang sungai berkenaan. "Ketika pencarian dilakukan, seluar milik mangsa ditemui dua kilometer dari tempat mangsa hilang oleh penduduk kampung. "Mangsa pula kemudian berjaya dijumpai oleh penduduk bersama pihak bomba dan agensi bantuan lain sejauh tujuh kilometer dari tempat dia hilang di mana ketika itu rambutnya tersangkut pada kayu," katanya ketika dihubungi. Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. "Operasi SAR ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari," katanya .Mangsa dikhuatiri lemas selepas menyeberang sungai bersama ibunya ketika dalam perjalanan pulang dari kebun pada Jumaat. - Sinar Harian Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI