GARA-GARA terpedaya dengan sindiket Love Scam, seorang wanita warga emas berusia 68 tahun berputih mata apabila kerugian sebanyak RM565,700. Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, mangsa yang bekerja sebagai penjaga stor di sebuah kilang berkenalan dengan seorang lelaki sejak September tahun lalu menerusi Facebook. Mangsa didapati menjalin hubungan cinta dengan lelaki berkenaan yang mendakwa bekerja sebagai seorang doktor yang berkhidmat di Iraq. ARTIKEL BERKAITAN: Love Scam: Balu rugi RM3.9 juta, terpedaya janji manis lelaki kacak Menurutnya, suspek memberitahu mangsa dia ingin pulang ke Miami, Florida, Amerika Syarikat dan meminta bantuan mangsa memasukkan wang kepada pihak United Nation bagi menamatkan kontraknya sebagai doktor di Iraq. Osman berkata, siasatan mendapati mangsa hanya berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan tidak pernah berjumpa dalam tempoh tersebut. "Suspek turut berjanji akan menyerahkan wang sebanyak RM5 juta sekiranya dia tiba di negara ini. "Mangsa bersetuju dan melakukan 69 transaksi ke 13 akaun bank berbeza milik suspek. "Semua transaksi dilakukan melalui mesin di sebuah bank cawangan Taiping bermula pada 04 Oktober 2021 hingga 21 Mei lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Katanya, mangsa menyedari ditipu telah membuat laporan polis pada Sabtu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI