suria

Tangisan sayu dari mahkamah, Siti Bainun sebak lihat 6 anak jagaan termasuk Bella

Siti Bainun (gambar fail) gagal menahan sebak ketika melihat enam anak jagaannya di mahkamah.

AIR mata membasahi pipi Siti Bainun Ahd Razali sebaik melihat enam anak jagaannya yang hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Kesemua mereka hadir di mahkamah bagi sesi pengecaman prosiding kes menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun bernama Bella.

Siti Bainun yang merupakan pengasas Rumah Bonda mengalirkan air mata apabila cuba mengintai anak-anak jagaannya kerana terhalang oleh tirai.

bella

Bella (tengah) memberi ‘mini love’ kepada pihak media di mahkamah. foto Sinar Harian

Tiga remaja termasuk Bella serta tiga kanak-kanak berusia empat dan tiga tahun hadir dalam sesi tersebut.

Seorang daripada kanak-kanak itu juga dilihat cuba memegang tangan Siti Bainun namun terhalang oleh penghadang plastik yang menempatkan tertuduh.

ARTIKEL BERKAITAN: Bella beri 'mini love', hadir ke mahkamah

Ketika itu saksi pendakwaan kelapan, Pegawai Penyelidik Undang-undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam, 40, membuat pengecaman terhadap enam saksi termasuk Bella.

Turut hadir dalam dalam sesi berkenaan ialah saksi terdahulu iaitu saksi pertama (SP1), rakan baik tertuduh, Zurianty Sudin, 39, dan SP5, bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, 19.

Dalam prosiding ini, mahkamah mengambil maklum bahawa seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun, dikecualikan untuk sesi pengecaman.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun.

Prosiding di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung pada Jumaat. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain