SATU lagi laporan dibuat oleh ahli keluarga pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad pada Khamis lalu. Menurut pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, laporan itu dibuat berkaitan dengan kecurigaan pihak keluarga terhadap satu resolusi menukar nama salah satu syarikat milik Allahyarham. "Kita akan buat siasatan lanjut dengan mendapatkan dokumen tertentu untuk mengenal pasti sama ada tandatangan yang diturunkan itu sah atau sebaliknya," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Ahad. Jelas Muhamad Zaki, siasatan itu akan dilakukan serentak dengan laporan sebelum ini di bawah Jabatan Jenayah Komersial dan dibantu oleh Jabatan Siasatan Jenayah. Katanya lagi, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Sinar Harian pada 16 Jun lalu melaporkan ahli keluarga kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare tampil membuat laporan polis menuntut siasatan lebih lanjut dilakukan berhubung kematian Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada 18 Mei 2019. - SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI