SEORANG lelaki ditahan gara-gara mengubah suai kereta menyerupai kenderaan Polis Diraja Malaysia(PDRM). Pemilik sebuah kereta jenis Nissan Skyline R32 berjaya ditahan dalam satu ekspo kenderaan bermotor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Sepang pada Sabtu. Menurut Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, kenderaan jenis Nissan Skyline R32 milik individu terbabit sebelum ini menjadi tular apabila menyerupai kenderaan rasmi polis dalam ekspo tersebut. Katanya lagi, siasatan mendapati Nissan Skyline R32 itu mempunyai logo dan corak menyerupai kenderaan polis. "Siasatan yang dijalankan berdasarkan penularan video di media sosial itu kemudian membawa kepada penangkapan suspek yang merupakan pemilik sebuah kedai aksesori kereta berumur 45 tahun dan merupakan pemilik Nissan Skyline R32 terbabit. "Tangkapan yang dijalankan kira-kira jam 10.30 malam itu turut merampas sebuah Nissan Skyline R32, satu rangkai kunci dan sekeping slip penyertaan pameran," katanya dalam kenyataan pada Ahad. Beliau berkata, siasatan lanjut berkaitan kes tersebut masih dijalankan dan disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967. Pada Sabtu, tular satu video menerusi aplikasi Tik Tok yang memaparkan sebuah kereta awam menyerupai kenderaan milik polis dalam satu pameran kenderaan bermotor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini. Video berdurasi 13 saat itu dipercayai dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Tik Tok sebelum ia menjadi tular di media sosial. -Sinar Harian Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI