suria

Tunku Idris kongsi foto, video kereta digeser BMW nombor plat Singapura... pemandunya tak periksa kesan calar

Insiden kereta milik Tunku Idris digeser oleh sebuah BMW berjaya dirakam oleh CCTV.

"PERANGAI..." demikian kapsyen ditulis Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim dalam satu perkongsian di laman Instagram miliknya, Ahad.

Posting itu dibuat bagi meluahkan rasa kecewa selepas kereta kesayangannya bercalar akibat digeser oleh sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Singapura.

Tunku Idris turut berkongsi gambar keadaan keretanya dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian tersebut.

Menerusi gambar yang dimuat naik olehnya, kelihatan bahagian kanan tayar keretanya kemek selain terdapat kesan calar.

Tangkap layar perkongsian Tengku Idris di Instagram.

Kejadian berlaku di hadapan sebuah kedai di Jalan Serampang, Taman Pelangi, Johor Bahru, Johor pada pukul 2.17 petang sebagaimana paparan pada CCTV.

Insiden tercetus apabila kenderaan jenis BMW bernombor pendaftaran Singapura itu bergesel dengan kereta Tunku Idris yang diparkir di hadapan kedai, ketika pemandunya mahu memasuki ke ruang parkir kosong di sebelah kanan.

Malah menerusi video berdurasi 60 saat tersebut juga dapat dilihat pemandu kereta BMW itu, seorang lelaki, keluar dari kenderaannya dan melewati kenderaan Tunku Idris tanpa melihat sekiranya berlaku kerosakan atau tidak.

Difahamkan, kereta milik Tunku Idris adalah kereta elektrik buatan Honda iaitu Honda E, menggunakan 100 peratus kuasa elektrik dan tidak mempunyai enjin.

Harga seunit kereta model tersebut bagi pasaran negara ini bermula RM210,000.

Turut difahamkan hanya terdapat empat unit sahaja kereta model itu di Malaysia dan salah sebuahnya dimiliki oleh Tunku Idris.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika mengulas insiden tersebut berkata pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian itu.

Katanya, laporan polis mengenai kejadian itu dilakukan di Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan.

"Bagi tindakan seterusnya, kita akan tunggu hasil siasatan nanti," katanya, memetik Harian Metro.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain