suria

Universiti Malaysia-Kanada jalin kerjasama teknologi pertanian jamin sekuriti makanan negara

Noraini (dua, kanan) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara UMT dan USASK di Kanada. Turut serta Prof Mazlan (kanan), Prof Airini (kiri) dan Wyant.

SEJAJAR dengan usaha bagi meningkatkan produktiviti hasil sektor pertanian dan perikanan demi menjamin sekuriti makanan negara, satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Saskatchewan (USASK), Kanada.

Kolaborasi tersebut dilaksanakan menerusi projek penghasilan makanan berasaskan sumber protein alternatif Black Soldier Fly (BSF) yang digunakan untuk membangunkan makanan rumusan kepada haiwan akuatik.

Justeru, mengadakan kolaborasi dalam bidang penyelidikan bagi menghasilkan teknologi moden untuk produktiviti hasil sektor pertanian dan perikanan adalah penting.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, sektor pengajian tinggi seharusnya meningkatkan kerjasama antarabangsa untuk menangani isu keselamatan makanan global yang kini amat kritikal disebabkan banyak cabaran yang dihadapi seperti pandemik, perubahan iklim dan konflik antarabangsa.

"Kolaborasi seperti ini memberi peluang kepada kita untuk mengatasi cabaran-cabaran tersebut selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Kita percaya bahawa SDG ke-4 iaitu Pendidikan Berkualiti merupakan asas kepada semua SDG yang lain, jadi kita mesti membangunkan program pendidikan melalui perkongsian antarabangsa bagi menghasilkan graduan yang holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UMT dan USASK di Saskatchewan, Kanada.

kpt - mou umt 3

Noraini (baju merah) ketika mengadakan lawatan ke USASK.

Sehubungan itu, Noraini berharap agar UMT dan USASK mempertingkatkan kerjasama untuk membangunkan program-program yang telah dirancang bersama.

"Kementerian bekerjasama rapat dengan rakan sejawat di Kanada untuk menyediakan lebih banyak inisiatif sedemikian.

"Saya berharap kita dapat meningkatkan lagi hubungan sinergi dan melakukan lebih banyak inisiatif untuk kedua-dua negara," katanya.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Lanjutan Saskatchewan, Gordon S Wyant dan Provos merangkap Naib Presiden Akademik USASK, Prof Airini.

Noraini berada di Kanada bagi menghadiri Persidangan Parlimen Negara-Negara Komanwel (CPC) ke-65 anjuran Persatuan Parlimen Negara-Negara Komanwel (CPA) di Halifax bermula 20 hingga 26 Ogos 2022.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, MoU ini merupakan hasil daripada projek penyelidikan yang telah dijalankan oleh pihak universiti yang menarik minat pihak USASK untuk bekerjasama bagi mengkomersialkan hasil penyelidikan tersebut menjadi salah satu produk komersial bagi pasaran Kanada.

Menurutnya, kajian yang dijalankan oleh penyelidik di Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) UMT ini bakal diaplikasikan kepada industri pemprosesan makanan ternakan akuatik seperti ikan, udang dan ketam.

kpt - mou umt 2

Noraini (empat, kiri) membuat tinjauan di USASK.

Malah katanya, ia turut dijadikan sumber makanan alternatif kepada haiwan ternakan seperti ayam, itik, kambing, arnab dan lembu.

"BSF adalah sejenis serangga yang taburan populasinya boleh ditemui hampir di seluruh dunia mengikut sepsis yang tersendiri, larva serangga ini mempunyai kandungan protein, kitin dan lipid yang tinggi dan berkualiti untuk keperluan seharian berdasarkan kajian saintifik yang telah dijalankan oleh penyelidik pakar.

"Penggunaan larva BSF adalah sebagai kaedah alternatif dalam mengurangkan kebergantungan sumber protein berasaskan makanan ikan (fish meal) yang digunakan pada masa kini memandangkan kos bahan mentah dari sumber sedia ada ini semakin mahal dan tidak lestari," katanya.

Jelas beliau lagi, haiwan yang diberi makanan rumusan BSF terbukti secara saintifik dapat mempercepatkan tempoh tumbesaran dan meningkatkan daya tahan organisma ternakan.

“Sumber alternatif ini mampu memenuhi permintaan pasaran yang luas sekali gus menyahut seruan kerajaan yang menekankan kepada aspek Jaminan Makanan (Food Security) dan Makanan Masa Hadapan (Future Food)," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain