BAJET 2023 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi membuatkan rakyat mengimbas kembali manfaat dan bantuan yang diterima masing-masing menerusi insiatif dalam bajet terdahulu. Seorang warga emas, Sabri Sabu, 65, tidak melepaskan peluang keemasan dengan mendaftarkan diri sebagai salah seorang penerima bantuan yang disediakan dalam Bajet 2022. Berstatus orang kurang upaya (OKU) sejak 2021, dia merupakan salah seorang individu yang terkesan gara-gara pandemik Covid-19 sehingga kehilangan sumber pendapatan. Jelas Sabri, dia mula bekerja sendiri setelah berhenti kerja sebagai penyelenggara di sebuah kilang simen di Chuping, Perlis pada 1999. "Kemudian saya cari rezeki dengan melakukan pelbagai jenis perniagaan. Bisnes terakhir saya adalah berniaga air balang di tepi sekolah tetapi terpaksa berhenti menjual disebabkan pandemik. "Tapi sejak 2017, saya mengalami masalah sakit lutut. Bahagian sendi sudah tidak lagi boleh dibengkokkan jadi pergerakan saya mula terhad. Nak solat pun saya terpaksa guna kerusi. "Saya berjumpa doktor di Kangar dan setelah melakukan pemeriksaan, pakar menasihatkan untuk saya menjalani pembedahan bagi menggantikan sendi lutut dengan lutut buatan," katanya sambil menambah kos pembedahan kira-kira RM6,000. Menyedari perkara itu, Sabri mengakui buntu memikirkan cara bagaimana untuk mendapatkan sejumlah wang dalam masa singkat bagi melakukan pembedahan tersebut. Namun, menurut bapa kepada dua cahaya mata ini, pakar di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar menguruskan kebajikannya dengan mendaftarkan Sabri sebagai penerima bantuan alatan ganti lutut. Isteri Sabri mengambil upah menjahit pakaian. Hanya memakan masa dua minggu, peruntukan untuk menjalani pembedahannya secara percuma diluluskan oleh kerajaan. "Saya tak mampu kalau kena tanggung sendiri kos pembedahan, apatah lagi saya hilang punca pendapatan tetap setelah berhenti kerja di kilang. Isteri pun cuma ambil upah menjahit pakaian. "Setelah berbincang, doktor daftarkan saya di bawah Skim Peduli Kesihatan. Alhamdulillah, tak lama kemudian, permohonan diluluskan. Masalah sakit lutut dapat diatasi selepas pembedahan. "Selain bantuan tersebut, saya juga menerima elaun setiap bulan sebagai pemegang kad OKU pada Mac 2022 akibat kecacatan di bahagian lutut," ujar Sabri. Pelbagai program dan inisiatif yang ditawarkan di bawah Bajet 2022, dan bantuan diterima Sabri adalah Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) dan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU). Skim PeKa B40 merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD). EPOKU pula bertujuan untuk menggalakkan OKU terus bekerja, serta mampu hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif dengan jumlah bayaran RM450 sebulan. "Saya bersyukur, dengan bantuan ini dapat juga membantu sedikit-sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung seperti bil elektrik dan air serta barang keperluan setiap bulan. "Lebih-lebih lagi sekarang saya sudah bersara dan tidak berdaya lagi untuk bekerja. Saya berharap bantuan seperti ini dapat diteruskan bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan OKU seperti saya dalam pembentangan Bajet 2023," ujar Sabri lagi. SemarakNiaga Pembentangan Bajet 2022 tahun lalu merupakan perkara paling dinantikan oleh usahawan tempatan terutama golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Begitulah yang dialami pengusaha keropok lekor dan sos cili, Sheikh Mohd Khalid Sheikh Abdul Majid, 43, apabila perniagaannya tidak lagi mampu bertahan kerana kurang sambutan. Khalid menerima bantuan menerusi inisiatif Semarak Niaga bagi menyelamatkan perniagaannya. Dek kerana jualan kurang memberangsangkan ketika itu, syarikatnya berdepan dengan beban hutang yang banyak, sehingga membuatkannya berhasrat untuk menutup perniagaan. Bagaimanapun, langkah proaktif kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara menerusi peruntukan yang disediakan, telah memberi sinar baharu kepada Sheikh Mohd Khalid yang mesra disapa Khalid. "Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat saya hanya beroperasi separuh masa daripada jumlah operasi sebelum tempoh pandemik, menyebabkan hasil jualan menurun. "Perniagaan saya terjejas teruk hampir 50 peratus. Beban hutang syarikat juga semakin banyak menyebabkan saya tak mampu lagi bayar gaji pekerja-pekerja. Banyak bil tertunggak seperti rumah dan kenderaan terpaksa saya langsaikan," ujar Khalid. Khalid menerima bantuan di bawah inisiatif Semarak Niaga untuk meneruskan perniagaannya. Khalid yang mengusahakan syarikat Nurtihah Enterprise memberitahu bahawa bantuan dan inisiatif kerajaan seperti moratorium, sememangnya banyak membantunya untuk terus berdaya tahan. Peruntukan sebanyak RM350,000 yang diterimanya ternyata telah mengubah nasib dan kehidupannya serta menyelamatkan perniagaan yang nyaris lingkup. "Apabila dapat bantuan ni saya berasa amat lega. Saya memang menjangkakan bantuan daripada kerajaan seperti ini saja dapat membantu menyelamatkan saya daripada menutup perniagaan. Jika tidak, saya mungkin terpaksa jual atau lelong barang, demi menyelesaikan masalah hutang. "Pelbagai bantuan diberikan kerajaan termasuk moratorium, yang membolehkan syarikat saya terus bertahan dan membuat pusingan modal. "Dengan jumlah bantuan yang diberikan, saya dapat mengeluarkan keropok lekor sebanyak 3 tan setiap hari atas permintaan ramai," katanya. Kilang keropok yang diusahakan Khalid kini dapat mengeluarkan keropok lekor sebanyak 3 tan setiap hari. Khalid merupakan antara usahawan yang mendapat manfaat menerusi inisiatif SemarakNiaga, yang merupakan sebahagian daripada strategi induk Bajet 2022 untuk membantu sektor perniagaan bangkit semula, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Lebih RM40 bilion dalam Bajet 2022 bagi Program SemarakNiaga Keluarga Malaysia merangkumi Pinjaman Kredit Mikro berjumlah RM1.8 bilion; Pembiayaan Ekuiti atau Alternatif (RM2.2 bilion); Pinjaman Mudah bagi PKS (RM14.2 bilion), serta Jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berjumlah RM22 bilion. "Harapan saya pada Bajet 2023 agar kerajaan terus memberi dan menambah peruntukan untuk usahawan-usahawan, serta menambah lagi suntikan kepada penerima bantuan sebelum ini untuk memantapkan lagi perusahaan mereka. "Kami para peniaga sudah kembali beroperasi dan kini perniagaan semakin memberangsangkan. Dengan adanya inisiatif kerajaan dalam Bajet 2023 seperti SemarakNiaga yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini, membolehkan kami mengembangkan perniagaan," kata Khalid. Bajet 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI