suria

Tunai umrah sejak Jun tapi hanya berada di Madinah, kerajaan bantu bawa pulang 63 jemaah Malaysia

Wisma Putra.

TERDAPAT seramai 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia yang terdiri daripada 28 orang dewasa dan 35 orang kanak-kanak ketika ini sedang terkandas di Arab Saudi sejak bulan Jun 2022 disahkan oleh Kementerian Luar Negeri.

“Kesemua jemaah ini telah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada bulan Mac 2022,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Namun, mereka dikatakan hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah umrah.

“Susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan telah diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos 2022.

ARTIKEL BERKAITAN: Sanggup gadai kebun, guna habis duit EPF... harapan lebih 400 jemaah tunaikan haji terkubur

“Kerajaan Malaysia bersetuju untuk membantu urusan penghantaran pulang para jemaah yang sedang terkandas ini dengan usaha dan kerjasama antara agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan,” katanya lagi.

Dalam hal ini, Kementerian Luar Negeri dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan menyelaraskan urusan penghantaran pulang para jemaah berkenaan ke tanah air dalam masa terdekat.

“Kementerian Luar Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia yang berada di luar negara sentiasa terpelihara,” jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain