MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil memberi penjelasan mengenai status tempahan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk konsert artis dari Taiwan, Jay Chou. Menjelaskan di Twitter, Hannah berkata tempahan stadium untuk konsert Jay Chou World Tour telah dibuat pada 13 Mac 2019, manakala tempahan stadium bagi perlawanan bola sepak Piala AFF 2022 pula dibuat sedikit lewat. "Makluman, tempahan stadium konsert Jay Chou World Tour dibuat 13 Mac 2019 manakala AFF 2022 oleh FAM dibuat 18 Ogos 2022," ciapnya di Twitter, Khamis petang. Malah menurut Hannah, penganjur konsert itu telah mengalami kelewatan selama dua setengah hari kerana memberi ruang untuk mengadakan perlawanan Piala AFF. "Konsert perlu 14 hari pasang pentas oleh 500 kru dan 185 kru antarabangsa, 45 jentera berat, 200 speaker & 800 lampu. Mereka dah delay 2.5 hari bagi ruang AFF," tambahnya. Konsert Jay Chou yang akan diadakan pada 15 Januari ini menyebabkan sebahagian daripada Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) terpaksa ditutup pada perlawanan separuh akhir Piala AFF antara Malaysia dengan Thailand, Sabtu ini. ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia selesa benam Singapura 4-1, tempah slot ke pusingan separuh akhir Piala AFF 2022 Ekoran pengnajuran konsert tersebut, hanya 59,000 tiket diperuntukkan di stadium yang mempunyai kapasiti 80,000 penonton kerana pemasangan pentas di stadium tersebut melindungi pemandangan penonton. Penutupan sebahagian stadium berkenaan mengundang kritikan netizen di mana rata-ratanya meluahkan rasa kecewa kerana acara penting melibatkan pasukan negara seolah-olah tidak diberi kepentingan. Sungguhpun Hannah telah tampil memberikan kenyataan, namun segelintir netizen tetap mempersoalkan penggunaan stadium berkenaan untuk konsert artis dari luar negara itu. "Konsert lebih penting daripada bola. "Ini stadium nasional. Kena guna untuk acara nasional. Tak ada yang lebih besar daripada pasukan kebangsaan Malaysia. "Ini stadium bola... sepatutnya khas untuk bola sahaja. Nak buat konsert, tempahlah stadium lain," demikian antara sebahagian komen netizen. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI