suria

Proton Wira ‘kenderaan paling banyak dicuri’, di mana kedudukan ‘King of the road’?

Proton Wira mengekalkan statusnya sebagai 'kenderaan paling banyak dicuri'. foto AZLINA ABDULLAH/The Star

PROTON Wira, kereta kegemaran rakyat Malaysia sekian lama, juga merupakan kereta yang paling digemari pencuri.

Ia sekali gus mengekalkan statusnya sebagai 'kenderaan paling banyak dicuri' selama 11 tahun berturut-turut, menurut Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC).

Koordinator VTREC, Mas Tina Abdul Hamid berkata, senarainya adalah berdasarkan tuntutan yang diterima oleh syarikat insurans.

Sebanyak 131 Proton Wira dilaporkan dicuri pada 2021, diikuti Proton Iswara dengan laporan 75 kes.

Sering digelar sebagai 'King of the road', Perodua Myvi menduduki tempat keenam dalam senarai itu.

Toyota Hilux adalah kereta buatan luar negara yang paling banyak dicuri dengan 65 kes pada 2021, meletakkannya di tempat keempat, di belakang Perodua Kancil.

"Ada kereta Mercedes Benz curi dijual pada harga serendah RM10,000, atau Hilux RM12,000, dan Wira hanya RM3,000.

"Wira merupakan jenama yang popular ketika itu, dan masih terdapat sejumlah besar di jalan raya walaupun pengeluaran dihentikan pada 2009," kata Mas Tina sambil menambah bahawa kebiasaannya pencuri menjadi pembekal alat ganti Wira.

Myvi tidak terkecuali dalam senarai 'kenderaan yang dicuri'

Perodua Myvi menduduki tempat keenam dalam senarai itu.

Menurut Mas Tina, pencuri sering menyasarkan model kereta yang lebih lama dan lebih popular, dan beliau percaya Myvi akan menjadi kegemaran mereka tidak lama lagi.

"Myvi menjadi sasaran kerana rupanya dan ia antara kegemaran orang ramai.

"Trend ini hampir serupa (dengan Wira). Kita kini mempunyai sejumlah besar Myvi di jalan raya (dan mereka mungkin menjadi sasaran apabila pengeluarannya dihentikan),” katanya sambil menambah kebanyakan kenderaan tempatan yang dicuri dijual di dalam negara.

Beliau berkata, kekurangan alat ganti kenderaan baru-baru ini akibat pandemik Covid-19 memburukkan lagi masalah itu.

Sementara itu, data yang diperoleh The Star menunjukkan bahawa satu Yamaha 135LC dicuri setiap hari, menjadikannya motosikal paling banyak dicuri pada 2021.

Kedua dalam senarai itu ialah Yamaha Y15R dengan 186 kes dilaporkan, diikuti oleh Honda C100 iaitu 151 kes.

"Biasanya, pencuri akan menyasarkan model terbaharu, menanggalkannya, dan menjual alat gantinya.

"Mereka juga menjual Yamaha 125Z pada harga RM1,500, Yamaha 135LC (RM500), dan Honda EX5 dan Honda Wave berharga RM300 setiap satu.

"Pelanggan yang bersetuju dengan tawaran mereka akan memasukkan wang ke dalam akaun milik sindiket sebelum kenderaan atau komponen yang dicuri dihantar menggunakan perkhidmatan bungkusan berdaftar," kata Mas Tina.

Beliau menambah, adalah sangat sukar bagi pihak berkuasa untuk membanteras sindiket, yang menggaji kumpulan orang yang berbeza.

"Mereka mempunyai orang yang berbeza untuk mencuri dan kumpulan yang berbeza untuk membawanya ke Thailand. Orang lain akan menjualnya," katanya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain