suria

Lima bulan layari bahtera perkahwinan, Nurul Izzah keguguran anak keempat

Izzah yang mendirikan rumah tangga dengan Yin Shao Loong (kanan) reda dengan berita duka kehilangan kandungannya.

"DARIPADA Allah kita datang, kepada-Nya kita kembali.”

Demikian kata-kata yang ditulis bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar ketika berkongsi berita duka mengenai kegugurannya, pada Selasa.

Izzah, 43, terbuka untuk bercerita tentang berita sedih itu menerusi satu hantaran di Instagram.

Mengiringi hantaran berkenaan, Izzah turut memuat naik sekeping foto memaparkan dia dipeluk oleh kedua ibu bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Sejak 19 November 2022, mungkin inilah kali pertama kami berpelukan.

"Terlalu banyak yang telah kami lalui bersama... selesai berkempen, sempat pula dijangkiti Covid-19 buat kali kedua, mendapat berita kami mengandung anak keempat.

"Kemudian, sedang sibuk menguruskan tugasan baru, ke sana ke mari, kembali ke Pulau Pinang, kemudian ke Putrajaya. Dikejutkan pula dengan berita pemergian bayi yang dikandung. The little boot is gone," kongsinya.

Sungguhpun sedih dengan berita berkenaan, Izzah berkata dia reda dengan ketentuan Allah.

ARTIKEL BERKAITAN: Nurul Izzah kahwin lagi! MP Permatang Pauh pilih Yin Shao Loong jadi suami

"Syukur Alhamdulillah. Saya terfikir tentang semua wanita yang melalui episod serta pengalaman yang sama, walau jalur individunya berbeza.

"Ungkapan mensyukuri nikmat, kata-kata indah untuk Yang Maha Esa, yang kita ucapkan walau mengalir air mata kerana kita hanyalah insan kerdil. Insan yang lemah dengan perasaan, hati, memori dan pengalaman.

"Penyembuhan adalah satu perjalanan... dan jika anda perlu mengambil sedikit masa untuk bernafas pada masa ini, lakukan sahaja. Sebelum fasa kehidupan seterusnya bermula baru, InsyaAllah," tulisnya lagi.

Untuk rekod, Izzah mendirikan rumah tangga kali kedua dengan seorang pengkaji daripada Khazanah Research Institute, Yin Shao Loong, pada 5 Ogos tahun lalu.

Izzah mempunyai sepasang cahaya mata iaitu Raja Nur Safiyah, 15, dan Raja Ahmad Harith, 13, hasil perkahwinan pertamanya, sementara Shao Loong pula mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain