suria

Pulihkan kepercayaan sektor pendidikan tinggi negara - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Tahun Baharu KPT. foto YAP CHEE HONG/The Star

MEMASUKI tahun baharu 2023, beberapa azam dan fokus menjadi perhatian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Segala agenda kementerian juga selari dalam usaha untuk membangunkan Malaysia sebagai negara yang madani.

Justeru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sedang menetapkan hala tujunya untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat Malaysia dalam sistem pendidikan tinggi negara.

Menteri Pendidikan Tinggi itu menegaskan, kepercayaan akan menjadi nilai terpenting dalam pentadbiran dan kepimpinannya.

"Universiti kita dahulu dihormati oleh orang tempatan dan warga asing kerana kita mempunyai pemimpin yang berkualiti; pelajar berlumba-lumba mencari ilmu, profesor dan sarjana kita sangat intelektual.

"Kita tidak punya semua ukuran kehebatan 'superfisial' tetapi rakyat dan orang luar yakin dan percaya dengan kewibawaan universiti kita kerana kita benar-benar mendidik, bukan kerana kita juara dalam ranking atau teratas dalam liga dengan misi komersialisasi pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Pendidikan Tinggi, baru-baru ini.

Rakyat dan orang luar yakin dan percaya dengan kewibawaan IPT.

Menurut Mohamed Khaled, beliau mahu kementeriannya dikaitkan dengan integriti.

"Saya mahu membudayakan suasana yang anda yakin dan percaya kepada saya bukan kerana saya menteri, tetapi kerana saya adalah seorang boleh bekerja bersama-sama anda semua dan menjadikan kementerian ini yang paling dipercayai dan dihormati.

"Saya mahu kementerian ini bebas skandal, kontroversi, penyalahgunaan kuasa dan dari segala gosip liar," katanya ketika berkongsi pelan strategiknya untuk menambah baik kementerian.

Kementerian dipercayai

Di peringkat kementerian, Mohamed Khaled mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional bagi menyampaikan aspirasi negara Malaysia Madani.

"Semua yang kita lakukan di kementerian dan semua agensi di bawahnya mesti menterjemahkan aspirasi negara (Malaysia Madani) dengan tegas, teliti dan tepat.

"Kita mesti menjadi kementerian yang paling dipercayai dan sistem yang paling boleh dipercayai sekali lagi," katanya, sambil menambah ia penting kerana sifat landskap pendidikan negara hari ini semakin 'multifaceted' yang disebabkan oleh wabak kesihatan, perubahan iklim, krisis tenaga dan cognitive war.

Beliau berkata, kementerian bersikap profesional, adil, objektif dan tidak politikal.

"Semua kepimpinan di IPT serta segenap agensi lain, akan menjadi satu proses yang ketat, teliti dan objektif.

"Ia akan menjadi pencarian terbuka untuk individu yang paling boleh dipercayai dan berkelayakan. Mereka yang memahami aspirasi negara Malaysia Madani akan diutamakan.

"Misi, rancangan dan projek kita mesti mempunyai matlamat yang jelas, boleh diukur dan ini mesti disokong oleh bukti kukuh dan didorong oleh kepimpinan yang baik," katanya sambil mengingatkan peranan dan tanggungjawab naib canselor institusi pendidikan (IPT) tentang peranan dan tanggungjawab mereka.

"Pemimpin universiti seharusnya dapat memberikan penyelesaian kepada masalah negara, membina sinergi dengan institusi lain, mencari inisiatif untuk universiti menjadi bebas dari segi kewangan dan menjadi pemangkin bagi mendedahkan bakat terpendam dalam institusi mereka," katanya.

Beliau juga mengumumkan bahawa Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Akept) akan dikembalikan semula dan diperkemas untuk melakukan lebih dari sekadar memilih dan melatih pemimpin IPT.

KPT akan meningkatkan pelaburannya dalam latihan lepasan ijazah, kedoktoran dan pendidikan kepakaran, dan membuat 'perubahan besar' kepada ekosistem TVET.

Mohamed Khaled berkata, keupayaan, pencapaian dan usaha masa depan kementerian akan dinilai semula.

"Sektor pendidikan nasional adalah benteng paling penting untuk kebolehsaingan Malaysia, ia bukannya kubu tempat menebalkan ego.

"Walaupun kita mempunyai permulaan yang jauh lebih baik, negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan, Vietnam, Filipina dan Singapura, yang hampir setanding dengan kita 30 tahun lalu, kini jauh di hadapan kita," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled juga mencadangkan sektor pendidikan tinggi negara mempunyai unit seperti Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksamana) bagi memastikan semua perancangan strategik dilaksanakan dan menepati sasaran.

Jawatankuasa Pembangunan KPT, tambahnya, perlu dipertingkatkan dan infrastruktur digital pembangunan menjadi keutamaan.

"Pembangunan infrastruktur seperti bangunan baharu dan universiti awam baharu akan digantung sehingga kedudukan fiskal negara pulih dan kukuh," kongsi beliau.

Beliau turut mencadangkan disediakan satu kertas putih tentang "A New Horizon for Science, Technology and Innovation - A Strategy for Malaysia", menilai secara khusus dan mendalam kesan dan strategi kementerian dalam menguruskan pelbagai ‘current and future technological disruptions’.

"Ia akan memperhalusi kesan dan membantu kita merancang cara memajukan ilmu, memperkaya inovasi, mengurangkan beban pentadbiran," tambahnya.

Mohamed Khaled juga menekankan keperluan untuk mengukuhkan peranan Malaysia sebagai tonggak yang menarik pelajar, penyelidik dan bakat dari seluruh dunia.

"Kita tidak boleh hanya menjadi hab pelajar antarabangsa.

"Agenda Jangkauan Global Malaysia (Global Malaysia Outreach) akan dihidupkan semula supaya kita boleh menjadi hab bakat dan pengetahuan dan pusat pengetahuan sejagat," tambahnya.

Walau bagaimanapun, tumpuan pengantarabangsaan tidak seharusnya tertumpu pada kuantiti, tetapi kualiti.

"Saya mahukan pelajar terbaik, bukan sahaja pelajar terbanyak," katanya.

Selain itu, turut diberikan perhatian adalah menjadikan pendidikan tinggi inklusif dan boleh diakses melalui pembelajaran fleksibel dan penukaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Tumpuan pada IPT

Mohamed Khaled berkata, sumber intelek negara mesti diperkukuh.

"KPT adalah 'the Malaysia's brain trust', jadi wajarlah idea paling bernas, penemuan paling sahih dan pemikir paling dihormati datang daripada IPT kita, dan KPT harus berfungsi dan berdiri secocok dan setinggi namanya," katanya.

Beliau berkata, KPT akan meningkatkan pelaburannya dalam latihan lepasan ijazah, kedoktoran dan pendidikan kepakaran, dan membuat 'perubahan besar' kepada ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memandangkan negara memerlukan lebih ramai individu yang mempunyai kemahiran dan kecekapan teknologi.

Beliau menambah, kolej komuniti perlu dikembalikan kepada masyarakat, kerana ia sepatutnya menjadi destinasi utama graduan, atau mereka yang kehilangan pekerjaan mendapatkan peluang membina kemahrian lain, bagi memulihkan kerjaya atau minat.

"Kolej komuniti bukan perihal mengejar diploma dan Ia adalah tempat minat diasah dengan kemahiran dan akhirnya memanfaatkan kehidupan," ujarnya.

Memberi kredit kepada IPT swasta kerana daya tahan mereka, Mohamed Khaled berkata, KPT akan melakukan segala yang termampu untuk membantu sektor itu berkembang.

Mohamed Khaled berharap semua memberikan yang terbaik untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai sektor terpenting dan terbaik negara ini.

Belia menambah, adalah penting bagi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mengadakan kerjasama dengan IPTS untuk memasarkan kurikulum Malaysia di persada global.

"Educational policing perlu dihentikan untuk mewujudkan sistem pendidikan tinggi tunggal, yang tidak memisahkan antara IPTS dan IPTA atau politeknik dan kolej komuniti.

Utamakan pelajar

Tegas Mohamad Khalid, IPT perlu berusaha untuk mencapai kecemerlangan akademik di peringkat tertinggi, dan berkualiti tinggi.

Tumpuan tersebut seharusnya membangunkan pelajar dengan ‘smart and sharp skills’, seperti yang dijelaskan oleh Profesor Willem Smit dan Shien Jin dari Asia Business School.

"Smart Skills are co-developed with other human. And sharp skills are co- developed with computers," kata Mohamad Khaled.

Ini bermakna, KPT mesti melengkapkan pelajar dengan kepintaran mengurus manusia dan kebijakan mengurus teknologi.

Beliau menambah, kementerian perlu memperkasakan pelajar dengan menyediakan mereka dengan lebih autonomi dalam pendidikan mereka.

"Dalam proses 'memanusiakan manusia', pelajar akan diberikan lebih banyak kuasa, kebebasan dan tanggungjawab serta ruang untuk membuat keputusan melalui gerakan pelajar dan kesatuan pelajar seperti membuka perniagaan, mengurus kewangan persatuan dan merancang cara kerja memperjuangkan agenda mereka," katanya.

Ini dilakukan supaya pelajar mempunyai pengalaman manis dan pahit, menikmati kejayaan dan menginsafi kegagalan.

"Kita harus menggunakan segala kuasa untuk kebaikan manusiawi dan negara, menyimpan harapan dan mempunyai empati.

"Marilah kita bersama-sama memberikan yang terbaik untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai sektor terpenting dan terbaik negara ini," kata Mohamed Khaled.

11 perkara fokus Kementerian Pendidikan Tinggi

1. Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional

> Jawatankuasa baharu itu, yang ditubuhkan untuk memastikan rancangan dan agenda kementerian selaras dengan aspirasi negara, mempunyai tiga bulan untuk mencadangkan cara menambah baik kementerian.

2. Proses pemilihan kepimpinan profesional, adil, objektif dan tidak politikal

> Peranan hanya perlu diisi oleh mereka yang berkaliber dan berprestij yang dipilih melalui proses yang ketat, teliti dan objektif

> Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Akept) akan dikembalikan semula, dan fungsi serta peranannya diperkemas

3. Penilaian semula keupayaan, pencapaian dan misi kementerian

> Badan seperti Pemandu dan Laksana memastikan semua pelan strategik dilaksanakan bagi memenuhi sasaran kementerian

> Jawatankuasa Pembangunan KPT akan diberi kuasa dengan keutamaan diberikan kepada pembangunan infrastruktur digital

4. Memperkukuh sumber intelek Malaysia

> Pelaburan dalam bidang latihan lepasan ijazah, kedoktoran dan kepakaran akan dipertingkatkan

> Untuk mengelakkan brain drain, institusi pengajian tinggi (IPT) perlu membentangkan rancangan mereka untuk melatih dan mengekalkan bakat terbaik mereka

> Kementerian akan berbincang dengan Talent Corp untuk menarik bakat terbaik pulang

5. Sedia untuk mengurus perubahan dan ledakan teknologi

> Kertas putih mengenai "A New Horizon for Science, Technology and Innovation - A Strategy for Malaysia" akan disediakan

> Kertas kerja itu akan menilai impak dan strategi dalam mengurus gangguan teknologi semasa dan masa hadapan terhadap pengajaran, pembelajaran dan tadbir urus IPT negara

6. Perkukuh peranan Malaysia sebagai 'titik pertemuan' untuk pelajar, penyelidik dan bakat global

> Hidupkan semula agenda Jangkauan Global Malaysia

7. Membaik pulih ekosistem TVET negara

8. Memastikan kejayaan IPTS (atau IPTS)

> Bantu IPTS berkembang ke peringkat global menerusi pembukaan cawangan dan kampus pesisir

9. Kecemerlangan kualiti dan akademik

> Pelajar perlu dilengkapi dengan pengetahuan untuk mengurus manusia dan teknologi

10. Meningkatkan akses dan rejim pembiayaan pendidikan

> Terokai pendidikan fleksibel dan kemungkinan menjadikan PTPTN sebagai tabung amanah negara

> Berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri tentang cara untuk individu tanpa kerakyatan dan pelarian mendapat pendidikan tinggi

11. Pemerkasaan pelajar

> Pelajar diberi lebih kuasa, kebebasan, tanggungjawab dan ruang untuk membuat keputusan

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Berikut

Artikel Lain