VIDEO memaparkan seorang penghantar makanan yang sedang berlari di puncak Gunung Kinabalu meraih perhatian ramai di media sosial. Bersaksikan panorama memukau, pemuda yang dikenali sebagai Nasirsabara94 itu dilihat menggalas beg FoodPanda sambil berlari membawa bungkusan makanan. Video yang meraih ribuan tontonan di TikTok itu turut dihujani dengan soalan netizen yang tertanya-tanya sekiranya ada pelanggan membuat tempahan makanan dari lokasi berkenaan. "Abang hantar betul-betul ke?" soal Mohd Mustaqim. Jawab Nasir, dia sebenarnya tidak bertugas pada hari tersebut, namun sekadar menggayakan pakaian seragam kerjanya untuk tujuan bergambar sahaja. "Tidak la dik. Saya memang mendaki Gunung Kinabalu. Kebetulan saya juga rider. Jadi saya bawa la uniform untuk bergambar," ujarnya. Menurut Nasir lagi, dia turut membuat persiapan daripada segi fizikal sebelum pendakian tersebut, baru-baru ini. Nasir turut membuat persiapan dari segi fizikal sebelum pendakian itu. "Sebelum naik Kinabalu, saya sudah training joging hari-hari. By the way masa ni saya off duty. Saja-saja naik Kinabalu. "Tadi hujan sikit masa turun dari Laban Rata. Saya steady je pakai beg Panda sebab kalis air. "Serius kenangan yang terindah. Ada rezeki saya nak naik lagi," ujarnya lagi. Selain video larian, Nasir turut memuat naik beberapa keping foto ketika dia berada puncak berketinggian 4,095.2 meter itu. Di ruangan komen, ramai netizen yang turut memuji semangat Nasir sehingga ada yang memberi gelaran 'pekerja terpaling rajin' buatnya. "Saya naik tangga bangunan tiga tingkat dah rasa nak tercabut lutut dan nyawa. "Comel betul lari-lari dengan beg macam tu. Lain daripada yang lain, pekerja terpaling rajin ni. "Mantap bro. Moga selalu dimurahkan rezeki," tulis beberapa netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube