suria

Pemilik restoran dikecam, malukan pelanggan tak 'order' air

Pemilik restoran dikecam setelah memuat naik gambar pelanggan dengan tujuan tidak baik.

HANYA kerana tidak memesan minuman, seorang pemilik restoran dikatakan cuba memalukan seorang pelanggan secara terbuka di media sosial.

“Jika lelaki ini mahu terkenal, mari kita ‘bantu’ dia,” katanya selepas memuat naik foto pelanggan warga emas itu di Facebook.

Tindakan pemilik restoran di Georgetown, Pulau Pinang itu sebaliknya menerima kecaman.

Difahamkan, pelanggan tersebut tidak memesan sebarang minuman mahupun membayar caj RM1 yang dikenakan kepada mereka yang tidak berbuat demikian.

Namun, warganet tidak berdiam diri terhadap percubaan pemilik itu yang dianggap mahu mengaibkan lelaki tua berkenaan secara terbuka.

Penilaian ulasan Google kedai kopi itu turun kepada 1.3 bintang daripada 4.2 bintang.

Kemarahan orang ramai dalam talian nampaknya tidak menjejaskan perniagaannya kerana semakan pada pagi 21 Mac menunjukkan ia penuh dengan pelanggan.

Pemilik restoran, Ben Lim, 46, berkata adalah tidak benar dia akan menutup perniagaan untuk selamanya disebabkan insiden itu.

Katanya, dia telah menyahaktifkan laman Facebooknya selepas memohon maaf kepada lelaki itu dan orang ramai secara menyeluruh.

Dalam pada itu, dia juga berkata akaun palsu telah memuat naik tinjauan pendapat di Facebook, mengatakan kedai kopi itu akan ditutup jika tinjauan itu mendapat 10,000 tanda suka. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain