SEORANG warga emas meninggal dunia selepas memakan ikan buntal, manakala suaminya kini berada di unit rawatan rapi (ICU). Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, wanita berusia 83 tahun dan suaminya, 84, dari Jalan Sin Tiam di Chamek, Kluang, menempah ikan itu melalui media sosial dan menerimanya pada pagi Sabtu. “Mereka membersihkan dan memasak ikan untuk makan tengah hari dan sekitar jam 3 petang, wanita itu mula menggigil dan sesak nafas. "Kira-kira sejam kemudian, suaminya mula menunjukkan simptom yang sama. Anak mereka membawa kedua-dua mangsa ke unit kecemasan Hospital Enche’ Hajjah Kalsom untuk rawatan. “Wanita itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 malam manakala suaminya masih di ICU,” katanya. Difahamkan ini adalah kali pertama pasangan itu menjamu ikan buntal. Tambah Ling, ikan yang dipesan mereka datang daripada seorang nelayan di Endau, Mersing dan diproses oleh pengedar di Batu Pahat. Katanya, penjual itu juga berasal dari Batu Pahat dan telah menjual ikan itu secara dalam talian. Malah, 15 kilogram (kg) ikan itu telah dijual kepada empat pelanggan di Chamek, Paloh dan seekor di Yong Peng pada hari yang sama. “Selain pasangan itu, pelanggan lain masih belum memakan ikan tersebut tetapi Jabatan Kesihatan telah mendapatkan sampel ikan daripada penjual untuk dianalisis. - The Star. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube