suria

Suami ketakutan cuba bunuh diri, menangis selepas pukul isteri dengan tukul sampai mati

Mangsa meninggal dunia selepas dipukul menggunakan tukul oleh suaminya.

TRAGIS.

Begitulah nasib seorang wanita di Terengganu yang maut dibelasah oleh suaminya dengan menggunakan tukul besi.

Menurut laporan Buletin TV3, ia berlaku sekitar pukul 8 pagi, Rabu, di Kampung Besol, Bukit Besi, Dungun, dipercayai akibat cemburu.

Pergaduhan antara pasangan itu berlaku sejurus mangsa pulang ke rumahnya selepas dia menghantar anak ke sekolah.

Serangan itu menyebabkan mangsa yang berusia 41 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian dahi serta wajah.

Difahamkan, suspek keluar dari rumah dan pergi ke rumah datuknya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian selepas menyerang isterinya.

Dalam keadaan ketakutan dan menangis, lelaki itu memberitahu kakaknya bahawa dia telah membunuh isterinya dengan menggunakan tukul.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! Suami kerat isteri... organ dibakar, direbus di belakang rumah

Dia kemudiannya pulang semula ke rumah sambil menangis melihat isterinya yang terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu.

Dalam pada itu, suspek yang ketakutan dilaporkan cuba membunuh diri, namun sempat dipujuk oleh keluarga dan jirannya.

Suspek kemudiannya dipujuk oleh keluarga untuk menyerah diri sebelum dia dibawa ke Balai Polis Bukit Besi.

Untuk rekod, pasangan itu baru sahaja mendirikan rumah tangga pada tahun lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia enam bulan.

Mangsa yang merupakan seorang peniaga mempunyai enam lagi anak, hasil perkahwinan terdahulu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain