suria

“Selamat berehat anakku” - Kanak-kanak 11 tahun pergi selamanya akibat strok haba, ibu sayu kenangkan arwah ajar erti kehidupan

Wanie kongsi kisah kematian anaknya Aqil akibat strok haba dan dehidrasi.

CUACA panas sejak kebelakangan ini agak membimbangkan sehingga pakar kesihatan menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar selain meminum air kosong.

Namun, khabar duka pada Khamis mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan meninggal dunia, disyaki akibat strok haba dan dehidrasi.

Perkara itu dikongsi oleh ibu kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Wanie, menerusi hantaran di laman sosial yang kini tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat OOTD foto raya bertiga, anak ‘habis nyawa’ dalam pelukan ibu 2 hari sebelum Aidilfitri... Tangisan pelik petanda hujung usia

ARTIKEL BERKAITAN: Nurse kata anak dah meninggal, ibu tak percaya sebab doktor ucap ‘Alhamdulillah’! Detik pilu di Makkah kekal di ingatan

Menurut Wanie, anaknya, Muhammad Syamil Aqil atau Aqil merupakan seorang budak yang aktif bermain di luar rumah pada Hari Raya pertama dan kedua sebelum mula menunjukkan tanda-tanda lemah pada hari raya ketiga.

"Raya pertama dan kedua sangat-sangat aktif. Raya ketiga hanya demam biasa dan cirit-birit. Ibu monitor setiap jam suhu badan tetapi tak tinggi sangat, 37 hingga 39 darjah Celcius sahaja.

"Raya keempat selepas Subuh, Aqil kelihatan lemah dan dibawa ke klinik. Siap-siap pakai baju dan tiba-tiba mengalami kekejangan dan terus dibawa ke klinik berdekatan.

"Sampai di sana (klinik), doktor masukkan oksigen dan air. Nadi Aqil tiba-tiba berhenti dan masa ini jantung ibu pun rasa macam tak ada dah. Semua doktor on call turun sebab Aqil tiba-tiba rebah.

Aqil (kiri) merupakan anak sulung Wanie.

"Semua doktor berusaha sehabis mungkin untuk menyelamatkan Aqil. Saya dan suami serahkan kepada doktor untuk buat apa pun agar anak dapat diselamatkan. Sejam doktor berusaha, tetapi nadi Aqil tak naik-naik," katanya.

Namun, pihak doktor mengesahkan Aqil menghembuskan nafas terakhir pukul 9.27 pagi pada Selasa.

Jenazah Aqil kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan untuk bedah siasat dan keputusan mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia akibat strok haba dan dehidrasi.

Penghuni pertama rahim ibu, zuriat pertama abah ibu yang mengajar erti kehidupan dan kasih sayang.

WANIE

IBU

"Semua 'isi' dalam... jantung dan buah pinggang Aqil 'hangus' habis dah. Dalam dah kosong. Air dan darah dalam tubuh dah kering," kata Wanie.

Dilaporkan, jenazah pelajar darjah lima itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai, Selasa malam.

"Jam 9 lebih, Aqil dah selamat pergi ke negeri abadi. Selamat berehat anak ibu. Penghuni pertama rahim ibu, zuriat pertama abah ibu yang mengajar erti kehidupan dan kasih sayang.

"Semoga Aqil tenang dan riang bersama kawan-kawan baharu," katanya.

Jenazah Aqil selamat dikebumikan pada 25 April.

Dalam pada itu, Wanie turut menasihatkan ibu bapa supaya mengambil iktibar di atas kejadian yang menimpa anaknya.

"Tolong ibu bapa di luar sana, ambil iktibar daripada cerita anak saya. Tolong jangan bagi anak bermain di luar yang cuacanya panas. Suhu pada ketika ini sangat-sangat panas. Beri anak minum air secukupnya.

"Saya reda, doakan untuk saya terus kuat menghadap kehidupan dunia dengan kehilangan satu nyawa saya. Damailah anak syurga ibu Muhammad Syamil Aqil," katanya.

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin yang mengesahkan perkara itu berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia kerana strok haba dan dehidrasi.

"Bedah siasat di HRPZ II keputusan awal mendapati kanak-kanak itu diserang strok haba dan dehidrasi," katanya pada Khamis, dipetik sebagai berkata.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa tujuh kawasan di Semenanjung dan dua di Sabah diramal mengalami cuaca panas Tahap 1 (Berjaga-jaga), sekurang-kurangnya untuk tiga hari berturut-turut dengan suhu maksimum boleh mencecah antara 35 dan 37 darjah Celsius dalam kenyataan 23 April.

Justeru orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mengehadkan aktiviti di luar rumah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain