suria

Pendaki OKU pendengaran hilang selepas tawan Everest, ada orang nampak keluar sendirian dari kem pada awal pagi

Hawari dilaporkan keluar dari kem empat secara bersendirian pada awal pagi.

SEORANG pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, dilaporkan hilang pada Jumaat.

Memetik laporan The Himalayan Times (THT) pada Sabtu, Hawari yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran berjaya menawan puncak Everest pada Khamis.

Pengarah Pioneer Adventure, Nivesh Karki berkata, Hawari dilaporkan hilang selepas turun berehat di Camp IV (kem empat) setelah berjaya menawan puncak gunung (8,848 meter dari paras laut).

Ujar Nivesh, usaha pencarian sedang giat dijalankan termasuk menyampaikan mesej ke semua kem sama ada Muhammad Hawari ada berteduh di khemah lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini bakal daki Gunung Everest, mahu jadi OKU pertama negara kibar Jalur Gemilang di puncak

Menurut sumber, Hawari dilaporkan keluar dari kem empat secara bersendirian pada awal pagi tanpa pengetahuan malim gunung.

Untuk rekod, Hawari berasal dari Pulau Pinang dan kini bertugas di Muzium Pulau Pinang.

Pada 2 April lalu, misi ME 2023 disertai oleh Muhammad Hawari dan tiga pendaki lain melibatkan ketua misi, Azim Afif Ishak, 35; Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, dan Tiong Ling Yang, 30.

Sebelum ini, Awang Askandar dilaporkan berhadapan masalah kesihatan selepas tidak dapat meneruskan misi menawan Everest ketika berada di paras 8,000 meter dari aras laut.

Awang Askandar meninggal dunia di kem empat pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 waktu Malaysia) pada Jumaat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain