suria

Perkeso perkenal saringan kesihatan lebih komprehensif… Paling penting percuma je!

Seorang pekerja UEM Edgenta Berhad menjalani saringan kesihatan di tempat kerjanya pada 1 Jun.

PEKERJA yang sihat merupakan aset yang produktif.

Sehubungan itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperkenalkan Program Saringan Kesihatan Perkeso 3.0 (HSP 3.0) yang lebih komprehensif bermula 16 Mei hingga 31 Disember tahun ini.

Bagi yang tertanya-tanya, HSP sebenarnya mula diperkenalkan Perkeso pada tahun 2013 dengan menawarkan saringan kesihatan percuma bagi pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, program itu bertujuan mempuk kesedaran terhadap saringan kesihatan pekerja, pengesanan awal NCD, pencegahan keilatan dan kematian awal akibat NCD serta menggalakkan gaya hidup sihat.

Contoh NCD yang turut dikenali sebagai penyakit gaya hidup merangkumi penyakit jantung, kanser dan kencing manis.

Menerusi Bajet 2023, Perkeso menerima geran padanan berjumlah RM70 juta (RM10 juta daripada Kementerian Kewangan, RM60 juta daripada Perkeso) bagi melaksanakan saringan kesihatan pekerja selepas pandemik Covid-19.

Oleh itu, HSP versi 3.0 diperkenalkan untuk menawarkan saringan kesihatan yang baharu untuk pekerja, sekali gus membolehkan mereka mendapatkan status kesihatan terkini.

Menerusi HSP 3.0, kos purata saringan (disediakan oleh Perkeso) berjumlah RM135 seorang, manakala untuk wanita (kos tambahan untuk pap smear dan mamogram) berjumlah RM265.

"Lebih 2.2 juta pekerja layak untuk saringan kesihatan di bawah HSP 3.0, yang disediakan percuma," ujar Dr Mohammed Azman.

Tambahnya, HSP 3.0 ditawarkan kepada semua pekerja yang layak termasuk mereka yang telah menjalani saringan kesihatan menerusi HSP terdahulu.

"Kali ini, parameter baharu ditambah dalam HSP 3.0 untuk pengesanan awal lebih banyak faktor risiko NCD seperti saringan kesihatan mental, saringan kolesterol, hati dan buah pinggang, ujian HbA1c untuk kencing manis, ujian kanser darah, dan juga ujian kanser payudara dan serviks untuk pekerja wanita," ujarnya.

Mencegah lebih baik daripada mengubati

Menurut Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso yang melaksanakan program saringan kesihatan ini, sejumlah 23,174 pencarum mengalami keilatan atau meninggal dunia disebabkan penyakit NCD pada tahun 2022.

Ini bermakna secara purata, 63 kes keilatan atau kematian berkaitan NCD dilaporkan kepada Perkeso setiap hari.

Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Dr Azlan Darus berkata, mereka yang mengalami keilatan kerana NCD tidak dapat bekerja secara tetap.

Tambahnya, data daripada 2013 hingga 2021 menunjukkan gambaran yang membimbangkan.

Daripada 600,000 pekerja yang menjalani HSP dalam tempoh 2013 hingga 2022, 35 peratus didapati obes, 27 peratus mempunyai hipertensi, 9.5 peratus menghidap diabetes dan 61 peratus mempunyai kolesterol tinggi.

Lebih 2.2 juta pekerja layak untuk saringan kesihatan di bawah HSP 3.0.

Lebih 2.2 juta pekerja layak untuk saringan kesihatan di bawah HSP 3.0.

Dengan keperluan untuk ujian yang lebih muktamad, parameter baharu turut ditambah dalam HSP 3.0 bagi pengesanan awal lebih banyak faktor risiko NCD.

"Sebelum ini, pap smear dan mamogram boleh menyaring penanda tumor pada wanita; sekarang, parameter baharu juga boleh membuat saringan untuk penanda tumor lelaki juga.

"Ini merupakan satu dorongan. Apabila seseorang pekerja menjalani saringan kesihatan, ia akan mendorongnya untuk mengambil langkah seterusnya.

"Intervensi awal sangat penting. Ia bukan satu titik noktah, sebaliknya ia adalah permulaan untuk mengurus kesihatan anda.

"Ia boleh menjadi pengalaman yang membuka mata dan memberi kekuatan kepada anda untuk mengambil berat tentang diri sendiri," kata Dr Azlan.

Papan Pemuka Korporat SEHATi

Pada tahun 2022, Perkeso melancarkan SEHATi sebagai platform baharu untuk HSP. Aplikasi Mudah Alih SEHATi adalah untuk Orang Berinsurans Perkeso dan Portal SEHATi untuk Panel HSP.

Perkeso turut memperkenalkan papan pemuka korporat SEHATi atau "corporate dashboard" bagi membolehkan majikan mengurus saringan kesihatan untuk pekerja mereka di bawah HSP.

Melalui papan pemuka korporat SEHATi, majikan boleh mendapatkan senarai pekerja yang layak di bawah HSP, menyemak status penggunaan saringan kesihatan bagi setiap pekerja, akses analisis kesihatan am pekerja dan papan pemuka demografi serta pemantauan berterusan kesihatan pekerja.

Bagi yang risau sekiranya majikan mengetahui keadaan kesihatan mereka, syarikat hanya mendapat satu keputusan agregat, kata Dr Azlan memberi jaminan.

"Keputusannya adalah sulit, syarikat hanya tahu data kesihatan keseluruhan pekerja yang disaring, bukan keputusan individu.

"Data tersebut membolehkan syarikat mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan pekerja mereka, seperti menganjurkan program kesihatan di tempat kerja," ujarnya.

Sesetengah majikan hanya berfikir dalam jangka pendek tentang kos yang perlu mereka keluarkan untuk program kesihatan.

Walau bagaimanapun, kos tidak langsung adalah jauh lebih besar apabila pekerja tidak sihat kerana ia boleh menyebabkan masalah ketidakhadiran dan kurang produktif.

"Pekerja yang sihat menandakan peningkatan produktiviti. Hal ini terbukti dalam banyak kajian, dalam banyak syarikat," kata Dr Azlan.

Bagi syarikat yang bimbang HSP boleh menjejaskan masa bekerja atau jadual pengeluaran, Dr Azlan berkata terdapat beberapa cara HSP boleh dilaksanakan.

"Syarikat boleh mengadakan saringan di lokasi mereka sendiri, membuat jadual untuk kakitangan pergi membuat saringan di panel HSP melalui slot masa yang berbeza atau membenarkan pekerja pergi mengikut masa mereka sendiri, di luar waktu bekerja.

"Oleh itu, syarikat tidak perlu ditutup dan jadual kerja juga tidak terjejas," ujarnya lagi.

HSP di tempat kerja

Perkeso menggalakkan semua majikan untuk mengadakan saringan kesihatan pekerja di premis syarikat bagi menyediakan akses mudah untuk mereka yang layak.

Cara ini juga menjimatkan masa kerana pekerja tidak perlu pergi ke klinik untuk saringan kesihatan.

UEM Edgenta Berhad merupakan syarikat pertama yang menganjurkan saringan HSP 3.0 di premis syarikat.

Seramai 240 orang pekerja telah disaring dan 2,700 lagi akan disaring menjelang akhir tahun.

Pembantu HSSE (Kesihatan, Keselamatan, Kawalan Keselamatan & Persekitaran) UEM Edgenta Berhad, Norizan Shamsuddin, 52, merupakan salah seorang daripada mereka yang menjalani saringan dan memuji inisiatif tersebut.

"Berbanding melakukan ujian kesihatan di hospital yang mana anda perlu mencari parkir dan menghabiskan masa berjam-jam menunggu giliran dan keputusan ujian, ini sangat selesa. Keseluruhan proses (saringan di lokasi) selesai dalam masa sejam," ujarnya.

Tambahnya, dia dan rakan-rakan sekerjanya sedar tentang kepentingan pemeriksaan kesihatan meskipun ada pekerja lain yang tidak mempunyai kesedaran serupa.

Dalam pada itu, Kanthima Nuin, 42, penolong pengurus di Opus International (M) Bhd, sebuah unit di bawah UEM Edgenta Berhad, berkata, dia turut mementingkan kesihatan dan melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan, namun beberapa rakan sekerjanya masih bersikap acuh tak acuh.

"Ada yang berasa seperti tidak perlu, ada yang takut dengan keputusannya. Pengesanan awal dan pencegahan adalah lebih baik. Majikan menjaga kita, jadi lebih baik kita gunakan kesempatan ini dan jaga diri kita juga.

"Gunakan manfaat yang ditawarkan. Adalah lebih baik jika tahu status kesihatan bagi membolehkan saya mengambil langkah-langkah yang perlu untuk tingkatkan kesihatan," katanya.

Ketua Penyelesaian Kesihatan UEM Edgenta Berhad dan Pengarah Urusan Edgenta Mediserve Sdn Bhd, Shaiful Subhan berkata, HSP adalah sebahagian daripada pelbagai program kesihatan dan kesejahteraan yang ditawarkan syarikat itu kepada pekerja.

"Kami adalah syarikat pengurusan aset dan aset yang paling penting bagi kami adalah kakitangan kami.

"Kami melihatnya sebagai pelaburan kesejahteraan kakitangan kami, yang tidak boleh diukur dalam ringgit dan sen.

"Ini adalah program percuma, jadi kenapa tidak mengambil peluang ini? Pengesanan awal adalah lebih baik.

"Kami amat menggalakkan syarikat lain untuk mengambil bahagian dalam program ini dan juga program kesejahteraan lain kerana ia akan memberi manfaat kepada syarikat dalam jangka masa panjang," ujarnya lagi.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Perkhidmatan Pelanggan Perkeso di 1-300-22-8000 atau e-mel [email protected]

Program Saringan Kesihatan Perkeso 3.0 (HSP 3.0)

Siapa yang layak untuk HSP 3.0

1. Warganegara Malaysia

2. Berusia 40 hingga 59 tahun

3. Aktif mencarum Perkeso - Mencarum kepada Perkeso sekurang-kurangnya sebulan dalam tempoh 12 bulan terakhir di bawah Skim Keilatan

4. Ditawarkan semula kepada semua pekerja yang layak termasuk mereka yang menjalani HSP sebelum ini

Pakej Saringan Kesihatan Untuk HSP 3.0

HSP 3.0

Pemeriksaan fizikal

Saringan kesihatan mental

Konsultasi

Parameter Ujian

Ujian kiraan darah keseluruhan (FBC)

HbA1c

Penentuan paras profil lipid

Ujian fungsi buah pinggang

Ujian fungsi hati

Penanda tumor (CEA &AFP)

Urinalisis

Pap smear (untuk wanita)

Mamogram (untuk wanita)

Untuk pekerja/individu

Muat turun aplikasi SEHATi secara percuma

Daftar dan semak kelayakan

Tetapkan temu janji saringan kesihatan dengan klinik panel HSP

Akses keputusan saringan kesihatan

Pantau secara berterusan

Bagaimana untuk mendapatkan HSP

1. Muat turun aplikasi SEHATi menerusi Google Play atau Apple Store

2. Semak kelayakan permohonan

3. Tetapkan temu janji saringan kesihatan di klinik berdekatan anda

4. Jawab soalan penilaian risiko kesihatan

5. Hadir saringan kesihatan di klinik yang ditetapkan

6. Dapatkan kemaskini saringan kesihatan menerusi aplikasi SEHATi sebelum lawatan kedua ke klinik.

Hubungi Kami

1-300-22-8000 (Perkhidmatan Pelanggan Perkeso)

[email protected]

sehati.perkeso.gov.my, www.perkeso.gov.my

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain