LULUH hati seorang ibu menceritakan keadaan bayinya yang didakwa terjatuh semasa dikendalikan seorang jururawat di sebuah hospital, dalam kejadian jam 11.30 malam, 16 Julai lalu. Menurut Azie864 dalam perkongsian di TikTok, Afiq Firdaus yang berusia dua bulan, 10 hari kini mengalami pendarahan otak serta retak pada bahagian tulang kepala akibat kecuaian tersebut. Afiq Firdaus lahir pramatang (tidak cukup bulan) dengan berat 900 gram menyebabkan dia terpaksa ditahan di wad untuk dirawat di sebuah hospital di Johor. “Saya dikejutkan oleh pihak hospital memberitahu bayi (anak) terjatuh disebabkan oleh jururawat tak bertanggungjawab telah jatuhkan. “Anak saya masih kecil tak cukup bulan lagi. Sekarang baby ada pendarahan di bahagian otak, retak tulang kepala belah kiri. Tangkap layar video menunjukkan keadaan anak yang ditahan untuk rawatan di hospital. “Dengan segera saya dan suami buat laporan polis atas kecederaan pada bayi kami. Semoga Allah permudahkan segalanya demi anak saya yang baru nak membesar,” katanya dalam kapsyen video yang dimuat naik. Dia turut kesal dan mendakwa jururawat berkenaan seolah-olah tidak rasa bersalah untuk tampil dan meminta maaf atas kecuaiannya. Bukan itu sahaja, Azie juga mendakwa yang pihak hospital langsung tidak bertanggungjawab atas apa yang berlaku terhadap anaknya. “Tapi disebabkan oleh jururawat yang cuai buat kerja telah jatuhkan macam tu saja anak saya. Dah dijatuhkan tapi tak nak munculkan diri untuk berjumpa saya dan papa (suami). ARTIKEL BERKAITAN: Anak perempuan 6 tahun jatuh dari tingkat 1, bapa tergamam tengok bumbung pecah - “Dia sedar tapi senyap saja, tak menangis” ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak maut jatuh dari kerusi bayi di restoran, kepala terhentak di lantai “Hati saya tak boleh terima perbuatan dia. Semoga Allah yang tentukan segalanya. Saya tak sanggup kehilangan anak saya,” tulisnya lagi. Selepas dua hari kejadian, si ibu membuat hantaran kedua setelah melawat anaknya yang kelihatan lemah dan tidak bermaya. Lagi mengeruhkan keadaan, jururawat-jururawat yang berada di situ juga didakwa menunjukkan reaksi seakan-akan tidak berpuas hati dengannya. Ya saya tahu kami ni orang biasa-biasa tapi janganlah buat endah tak endah benda ni. AZIE “Sampai saja situ, doktor yang rawat saya tak ada dekat situ. Ada doktor ‘biasa’ saja yang tak tahu perkembangan anak saya macam mana. “Kadang-kadang doktor ni beri jawapan tak masuk akal fikiran. Semua nurse dekat situ tengok kami suami isteri semacam je. Macam tak ada apa-apa jadi dekat anak kami padahal yang buat anak saya jadi tak sihat, nurse bertugas dekat situ. “Ya saya tahu kami ni orang biasa-biasa tapi janganlah buat endah tak endah benda ni. Tak kan nak tutup macam tu saja fasal baby jatuh. Satu berita pun kami suami isteri tak dapat tahu sekarang,” katanya lagi. Malah, si pelaku didakwa tidak lagi kelihatan bertugas atau tampil untuk berjumpa dengan Azie dan suami. “Tipu kalau tak ada rasa marah dan kecewa bila jururawat buat lepas tangan macam tu saja. Sekurang-kurangnya awak datanglah berjumpa kami. Isu berbangkit itu turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan. -Gambar The Star “Kami bukan minta awak melutut di kaki. Awak dah musnahkan harapan baby yang berjuang dari lahir berat 900 gram dan nak dapatkan baru 1.52 kilogram. Awak musnahkan semuanya. “Pihak hospital jangan buat b***h saja. Harap je semua berpelajaran tinggi tapi tak berani ke depan. Dah baling batu sembunyikan tangan di belakang,” ujarnya lagi. Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan meneliti jumlah kes aduan berhubung kecuaian pihak hospital agar dapat melakukan siasatan menyeluruh. Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, setakat ini, kementerian sedang mengemas kini data bagi memastikan tindakan selanjutnya dapat diambil. "Kita ada menerima beberapa aduan kes kecuaian pihak hospital, tetapi rasanya lebih tertumpu di media sosial. "Pada peringkat kementerian segala aduan yang kita terima akan dibuat siasatan secara dalaman terlebih dahulu bagi memastikan siasatan secara terperinci dapat dibuat," katanya ketika Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kementerian Kesihatan Tahun 2023 pada Khamis. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube