suria

Keselamatan pesawat Malaysia Airlines MH122 terancam! Penumpang mencurigakan diberkas

Penumpang lelaki yang mencetuskan gangguan di dalam pesawat MH122 diberkas pihak polis. -Gambar media sosial

PENERBANGAN pesawat Malaysia Airlines MH122 yang berlepas dari Sydney, Australia ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik berikutan seorang penumpang lelaki mencetuskan gangguan ketika berada di dalam pesawat.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Sydney pada pukul 1.40 petang Isnin (waktu tempatan) tetapi berpatah balik semasa berada di New South Wales, sebelum mendarat semula di lapangan terbang berkenan pada pukul 3.47 petang.

Malaysia Airlines dalam kenyataan memaklumkan, keputusan untuk berpatah balik dibuat atas faktor keselamatan.

"Demi kepentingan keselamatan, komander penerbangan membuat keputusan untuk berpatah balik ke Sydney.

mas 2

Kru penerbangan MH122 tenang dan cekap ketika mengendalikan penumpang berkenaan. -Gambar media sosial

"Pesawat itu membawa 194 penumpang dan lima anak kapal selamat mendarat jam 3.47 petang (waktu tempatan).

"Keselamatan dan keselesaan kru serta penumpang kami adalah paling penting bagi Malayisa Airlines," katanya sambil menambah, pihak berkuasa tempatan sedang menilai situasi tersebut.

Memetik kenyataan daripada Australian Federal Police (AFP), penumpang berusia 45 tahun itu berjaya diberkas dan dibawa keluar daripada pesawat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat AirAsia bawa 156 penumpang, anak kapal patah balik selepas tiga minit berlepas dari LTAB

Sementara itu, video yang tular di Twitter, dipercayai dirakam oleh individu yang didakwa berada di dalam penerbangan MH122 menunjukkan kru penerbangan cuba menenangkan seorang lelaki yang menjerit kepada penumpang lain.

Dalam klip video berasingan, penumpang lelaki berkenaan juga dilihat sedang bersolat di laluan antara tempat duduk penumpang, dengan kru kapal mengawasi keadaan.

Pemilik akaun Twitter itu juga turut melontarkan pujian kepada kru penerbangan MH122 yang berjaya mengawal situasi dan memastikan keselamatan penumpang lain sebelum pihak berkuasa tiba.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain