KECOH mengenai sekumpulan pelajar tahfiz yang dibawa ke konsert Kepci Music Fest di Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu. Ramai yang mempertikaikan tindakan menjemput pelajar berkenaan yang dianggap tidak sesuai untuk menghadiri acara hiburan sebegitu. Video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan remaja pelajar tahfiz merupakan antara pengunjung yang menyaksikan konsert tersebut. Susulan kekecohan yang berlaku, seorang individu tampil memberi penjelasan mengenai tindakan membawa sekumpulan pelajar tahfiz itu. Individu berkenaan, Andrie Ung Han Xiang menegaskan bahawa pihak penganjur dan kerajaan tidak terlibat dengan kehadiran pelajar-pelajar itu. Menurutnya, dengan bantuan dan sumbangan rakan-rakan, pihaknya berjaya mengumpulkan kira-kira 700 anak yatim dari 22 rumah kebajikan seluruh negara untuk menghadiri festival itu. “Inisiatif ini adalah sepenuhnya daripada pihak saya yang ikhlas untuk memberi peluang kepada anak-anak yatim yang kurang berkemampuan untuk merasai pengalaman menghadiri festival tersebut dan diraikan bersama-sama. “Tujuan kami adalah ikhlas dan jelas untuk menjemput mereka bersama-sama memeriahkan festival tersebut yang turut menyediakan permainan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Dia turut berpandangan bahawa tema festival tersebut adalah dibenarkan dan boleh dihadiri oleh semua masyarakat. Mengulas mengenai video yang tular, kata Andrie, pelajar memakai jubah hijau dan berserban putih adalah dari sebuah tahfiz di Selangor. “Mereka adalah anak-anak pelarian Rohingya beragama Islam dan hampir tidak tahu untuk berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. “Tujuan kami hanya ingin menghiburkan mereka kerana dalam Islam tidak membezakan sempadan dan status pendatang haram,” ujarnya. Menurutnya lagi, pihaknya ikhlas menjemput anak-anak yatim tersebut menghadiri festival berkenaan kerana semua pihak perlu cakna terhadap semua golongan tanpa mengira agama, bangsa atau keturunan. “Namun, pihak kami juga turut berdukacita di atas ketidakpuasan hati dan perasaan tersinggung daripada pihak-pihak tertentu yang terkesan dengan isu yang tertular ini,” katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube