TRAGEDI kebakaran lima rumah di Lorong 16, Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa, di Kuching Sarawak baru-baru ini cukup meninggalkan kesan kepada mereka yang terlibat. Selain bersimpati dengan kematian kanak-kanak bernama Zayyan Nazeem Zainal Abidin, 6, kini orang ramai diminta mendoakan tentang keselamatan jiran mangsa yang berada dalam keadaan kritikal. Mohamad Syafiq Mohamad Ali Hanaffiah, 33, menjadi antara individu pertama cuba menyelamatkan mangsa yang terperangkap namun malangnya dia sendiri terkena renjatan elektrik. Menurut datuk kepada Allahyarham Zayyan iaitu Zamari Bujang, 51, Syafiq yang merupakan seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kini berada di Hospital Umum Sarawak. "Masa Syafiq naik di bahagian atas rumah untuk selamatkan cucu saya, ada letupan berpunca daripada wayar elektrik dalam rumah. Wayar tu terkena dia menyebabkan Syafiq jatuh ke lantai selepas alami renjatan elektrik. Syafiq dibawa menaiki motosikal untuk diberikan rawatan. "Syafiq masih dalam keadaan sedar masa kejadian. Kawan-kawan Syafiq sempat tarik dia keluar daripada api yang terbakar tu. Salah seorang daripada kawan dia terus bawa dia ke klinik kesihatan menaiki motosikal. "Hampir 70 peratus badan Syafiq terbakar. Sekarang dia berada dalam keadaan kritikal dan akan jalani pembedahan hari ini (Rabu). Difahamkan paru-paru dia terbakar 20 sehingga 30 peratus," katanya kepada mStar. Imbas Zamari mengenai insiden pada Isnin lalu, ketika kejadian Syafiq dan tiga rakannya baru selesai solat Zohor di masjid berdekatan kawasan tersebut. Mereka kemudian bergegas untuk membantu. Sejurus tiba di kawasan perumahan teres dua tingkat yang terbakar, Syafiq dan rakan-rakannya bergegas masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan. Kebakaran melibatkan lima rumah di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa, Kuching, Sarawak. Mereka hanya berjaya menyelamatkan seorang warga emas dan tiga orang cucunya yang masih berada dalam rumah sewaktu kebakaran. Namun, sebagaimana diceritakan Zamari, seorang cucu saudaranya, Zayyan tidak berjaya diselamatkan kerana rentung 100 peratus. "Bomba belum sampai lagi masa tu, jadi Syafiq dan kawan-kawan beranikan diri masuk ke dalam rumah selamatkan kakak saya dan cucu-cucu yang terperangkap dalam rumah. "Waktu kebakaran tu kakak saya dalam tandas, jadi dia tak sedar ada kebakaran di bahagian atas rumah. Mereka sempat keluarkan kakak dan tiga orang cucu saya saja. "Cucu saya seorang lagi tak dapat diselamatkan sebab tengah tidur di tingkat atas. Dia terperangkap dalam kebakaran tu," katanya lagi. Mangsa kebakaran meninggal dunia pada Isnin. Terdahulu Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Sarawak, Henderi Ardimansyah, berkata mayat mangsa yang terperangkap di dalam bilik belakang di tingkat atas ditemui pada jam 3.33 petang. Mayat ditemui ketika melakukan kerja 'overhaul' selepas api berjaya dipadam. Menurutnya, mayat kanak-kanak malang itu ditemukan di rumah kedua daripada lima rumah yang terbabit dalam kejadian pada 28 Ogos lalu. Jenazah mangsa kebakaran selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Gita Baru pada pukul 5 petang hari yang sama. Siasatan lanjut oleh pihak jabatan bomba sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube