suria

Geram minta duit tak dapat, anak nak bunuh ibu guna gunting! Siap heret bawa masuk bilik, tolak jatuh ke lantai

Kumaran mengugut dan mencederakan ibu kandungnya di kediaman mereka di Ipoh.

SEORANG pekerja kontrak berusia 48 tahun yang mengugut ibunya menggunakan gunting dipenjara lapan bulan.

V Kumaran mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Ipoh, Perak selepas pertuduhan mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun sama di hadapan Majistret S Punitha pada Rabu.

Kumaran didakwa mengugut untuk membunuh ibu kandungnya yang berusia 73 tahun menggunakan gunting di sebuah rumah di Pesara Klebang Jaya 12, Taman Klebang Jaya, Chemor kira-kira pukul 4 petang, 27 Ogos lalu.

Dia dikatakan tidak berpuas hati selepas ibunya enggan memberikan wang kerana hanya mempunyai RM50 untuk membeli barangan runcit.

Namun dia tetap mengambil wang itu dan memulangkan baki RM20 kepada ibunya.

Kumaran kemudian mengheret ibunya ke dalam bilik tidur dan menolaknya, menyebabkan wanita itu terjatuh ke lantai.

Tertuduh kemudian cuba mencekik mangsa sebelum mengambil gunting dan mengacukannya ke leher sambil mengancam untuk membunuh ibu dan dirinya sendiri.

Dia ditahan kira-kira pukul 3.20 petang keesokan harinya.

Peguam Siti Hajar Hamzah yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya menyayangi ibunya dan mengalami tekanan yang teruk.

“Anak guam saya belum berkahwin dan menjaga ibunya seorang diri. Dia seorang pekerja kontrak dan memperoleh pendapatan kira-kira RM60 sehari.

“Dia tertekan kerana tiada adik-beradiknya yang membantu menjaga ibu mereka. Oleh itu saya harap mahkamah akan mempertimbangkan hukuman yang minimum,” katanya.

Punitha memerintahkan Kumaran dipenjara empat bulan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 506 kerana ugutan jenayah, dan lapan bulan bagi pertuduhan kedua menyebabkan kecederaan.

Dia mengarahkan hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkapan, jadi Kumaran hanya perlu menjalani hukuman penjara selama lapan bulan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin. -THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain