suria

Impian ke Korea musnah! Gadis terkandas di airport gara-gara tak bawa pasport lama... Akur duit belanja buat majlis kahwin

Setiap individu mempunyai keinginan untuk bercuti ke luar negara. -Gambar hiasan (kiri)

KOREA Selatan sentiasa menjadi destinasi idaman kebanyakan rakyat Malaysia kerana tarikan makanan dan tempat untuk dilawati termasuk populariti drama dan selebriti negara itu.

Namun impian seorang gadis untuk menjejaki ke negara itu buat pertama kali musnah apabila dia tidak dibenarkan masuk oleh pegawai imigresen.

Malah, dia melalui pengalaman itu selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 11 Oktober sebelum diarahkan pulang ke tanah air.

Ruang menunggu yang terpaksa dia duduk sementara menunggu penerbangan pulang.

Tangkap layar video yang tular di TikTok.

Menerusi perkongsian video di TikTok, gadis berkenaan mendakwa, ketika pemeriksaan di kaunter imigresen, pegawai mempersoalkan tiada sejarah perjalanan dalam pasport miliknya dan dia memaklumkan dokumen tersebut diperbaharuinya.

Ditanya tentang pasport lama, dia memaklumkan tidak membawanya bersama.

"Saya memberitahu pegawai yang saya baru sahaja memperbaharui pasport dan tidak membawa yang lama," katanya sambil menambah mereka kemudian diminta mengikut seorang pegawai untuk siasatan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: Waspada sebelum terkena! Percutian ke Seoul bertukar ‘tragedi’, 4 sekawan jadi ‘homeless’ 3 hari gagal jawab soalan pelik imigresen

Selepas disoal siasat, dia dan rakan didapati tidak membuat persediaan yang lengkap untuk ke Korea Selatan.

Menurut gadis itu, dia menunjukkan dokumen yang diperlukan seperti pasport, tiket penerbangan pergi dan balik, tempahan hotel termasuk K-ETA (Kebenaran Kembara Elektronik Korea Selatan).

Hazwani berkata, dia telah merancang perjalanannya pada 10 Oktober itu dengan teliti dengan semua dokumen yang diperlukan sebelum menaiki pesawat.

Antara reaksi warga maya di TikToknya.

Antara reaksi warga maya.

Lebih menyedihkan apabila usahanya untuk mendapatkan bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Korea tidak berhasil kerana pihak imigresen di negara itu bertegas dia perlu menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.

Mereka ditempatkan dalam satu bilik bersama beberapa penumpang negara lain dan pasport mereka dipegang oleh pihak imigresen sementara menunggu penerbangan pulang ke Kuala Lumpur pada awal pagi keesokannya.

Bagi gadis itu, dia menyifatkan perjalanan tersebut sebagai pengalaman terburuk dalam hidupnya sepanjang bercuti ke luar negara selain berasa trauma dengan apa yang terjadi.

Reda dengan kejadian yang berlaku, dia bagaimanapun berkata, dia akan menyimpan wang yang sepatutnya dibelanjakan di Korea Selatan untuk digunakan sebagai kos majlis perkahwinannya, pada masa akan datang.

Video yang mengenai dirinya terkandas di lapangan terbang itu meraih 1.1 juta tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain