DUDUK dalam kalangan penerima anugerah, namun seorang pempengaruh media sosial hampa apabila pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang trofi kemenangan. Begitulah luahan Zhiddin Aziz yang segak berbaju Melayu lengkap dengan tengkolok apabila kategori yang menyenaraikannya sebagai salah seorang calon pemenang pada majlis Anugerah Belia Perdana Negara (ABPN) 2023 digugurkan pada saat akhir. Luahan Zhiddin yang juga anak kepada personaliti televisyen, Allahyarham Aziz Desa yang dimuat naik di TikTok sehingga meraih lebih 1.2 juta tontonan. ARTIKEL BERKAITAN: Anak arwah Aziz Desa tunjuk bukti dihubungi penganjur APBN, siap minta gambar HD... Disuruh ikut garis panduan foto pemenang anugerah ARTIKEL BERKAITAN: Anak arwah Aziz Desa terkilan dah tempah baju ribuan ringgit tapi anugerah batal saat akhir Susulan kekecohan itu, pihak penganjur Sekretariat APBN menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) tampil memberikan penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan Zhiddin berhubung dakwaan anugerahnya ditarik balik pada saat akhir. Menurut Sekretariat APBN, Jawatankuasa Pengesahan Pemenang APBN sebulat suara memutuskan tiada pemenang bagi dua kategori yang dipertandingkan. “Tiada pemenang bagi dua kategori iaitu Ikon Belia Influencer (Media Sosial) dan Ikon Belia Sanjungan Budi kerana tiada calon yang memenuhi kriteria ditetapkan. “Pengumuman semua pemenang anugerah juga hanya diumumkan ketika majlis berlangsung dan tiada pengumuman rasmi dibuat kepada mana-mana pemenang sebelum itu. “Pemenang bagi setiap kategori di bawah APBN dipilih dan dinilai oleh panel penilai yang mempunyai kepakaran dalam kategori masing-masing sebelum dipersetujui oleh Jawatankuasa Pengesahan Pemenang APBN,” menurut kenyataan itu, pada Sabtu malam. Kenyataan yang dikeluarkan pihak penganjur. Terdahulu, Zhiddin melahirkan rasa kesal dan mendakwa anugerah bagi kategori Ikon Belia yang sepatutnya menjadi miliknya dalam majlis yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim, digugurkan pada saat akhir. Dakwa pemuda itu, kurang 24 jam sebelum majlis berlangsung dia menerima panggilan telefon daripada wakil penganjur bagi memaklumkan tentang pembatalan kategori berkenaan. “Saya ni dah (lalui) pelbagai peringkat saringan hingga ke akhir, tempah busana mencecah ribuan ringgit. “Saya minta ibu saya doakan kemenangan dan Alhamdulillah, doa ibu saya termakbul kerana saya difahamkan bahawa saya adalah pemenangnya. “Tetapi kemenangan saya dinafikan. Mengapa kemenangan saya dinafikan?” luahnya menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosial. Menerusi rakaman berdurasi satu minit dan 28 saat itu, Zhiddin bagaimanapun tidak mahu meletakkan kesalahan itu kepada KBS. Dia bagaimanapun mahu membangkitkan persoalan dan perkara itu dikemukakan kepada Hannah dan Adam selepas majlis berakhir. Rakaman itu hanya menunjukkan Hannah dan Adam mendengar kekesalan yang diluahkan Zhiddin berhubung pengguguran kategori tersebut, tanpa sebarang penjelasan diberikan. Menerusi klip video yang dikongsikan, kedua-dua individu berkenaan hanya menganggukkan kepala dan menyatakan 'okay' kepadanya. Dalam video berasingan, Zhiddin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan berbangga kerana mendapat tempat duduk sebaris dengan kesemua mereka. “Saya harap ibu saya juga berasa bangga apabila dapat tahu tempat duduk anaknya dalam kalangan penerima anugerah. “Tapi Iddin (Zhiddin) minta maaf mama, tiada gambar dengan trofi. Ada gambar atas pentas je, itupun curi-curi bergambar atas pentas waktu dewan dah kosong. Gagah tunggu sebab nak tunjuk gambar dekat mama,” luahnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube